PADANG TERAP - Kedah akan membincangkan mengenai prosedur operasi standard ( SOP) terbaru termasuk keperluan lengkap suntikan dos penggalak untuk masuk ke masjid dan tempat-tempat awam.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Katanya, perbincangan berkenaan diadakan susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini dan usaha untuk mengekang penularan.
"Kes Covid-19 memang meningkat di seluruh negara pada ketika ini dan saya berharap rakyat dapat mematuhi SOP yang digariskan.
"Selain itu dalam sehari dua lagi kita akan bincangkan semua kemungkinan sama ada perlu suntikan dos penggalak atau tidak untuk masuk ke masjid dan tempat- tempat awam lain," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Nurul Hidayah di Pekan Naka di sini pada Khamis.
Menurutnya, kerajaan negeri juga telah mengeluarkan pekeliling menetapkan hanya pekerja positif Covid-19 sahaja dibenarkan bercuti untuk menjalani kuarantin.
"Kalau cuma seorang saja disahkan positif Covid-19, tak bolehlah pejabat nak tutup semua. Cuma individu yang positif itu saja berehat di rumah.
"Yang lain perlu bekerja termasuk kontak rapat yang tidak bergejala," katanya.
Muhammad Sanusi menambah, kebanyakan mesyuarat kerajaan juga kembali diadakan secara dalam talian dan bukan lagi dilaksanakan secara pertemuan fizikal.
"Bagi program-program berkaitan kerajaan negeri kini turut dihadkan sebagai usaha bagi mengekang penularan pandemik ini," katanya.
Dalam masa yang sama, Muhammad Sanusi turut memaklumkan jumlah kanak-kanak di Kedah yang sudah menerima vaksin kini mencecah 51,000 orang.