KUANTAN - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang menyediakan seramai kira-kira 60 hingga 80 orang anggota dan enam lori untuk misi bantuan pasca banjir ke Terengganu secara berperingkat.
Pengarahnya, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, penghantaran pasukan untuk menjalankan misi pembersihan pasca banjir ke Kemaman bermula pada Khamis dengan 30 anggota bersama sebuah lori.
"Penghantaran untuk fasa kedua dijangka pada Ahad depan ke Hulu Terengganu dengan melibatkan 30 anggota untuk membuat kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas.
"Pada masa sama, kami mempersiapkan anggota secara berperingkat untuk fasa seterusnya berdasarkan keperluan melalui penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah terlibat," katanya ketika ditemui selepas Program Derma Darah sempena Hari Ulang Tahun APM Ke-70 di Ibu Pejabat APM Pahang di sini, pada Khamis.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ibrahim dan Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Hussin.
Che Adam berkata, sebelum ini pihaknya menghantar enam pegawai bersama dua lori lima tan untuk membantu operasi memindahkan mangsa banjir di Kemaman dan Dungun, Terengganu pada Ahad lalu.
Dalam pada itu katanya, APM Pahang menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk mengadakan program derma darah setiap tiga bulan sekali bermula tahun lalu.
Menurut Che Adam, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan rakan strategik bagi melaksanakan program derma darah bagi menampung keperluan bekalan darah di hospital di Pahang.
"Selain melalui program derma darah, anggota akan dihantar ke mana-mana hospital untuk menderma darah jika ada keperluan," katanya.
Mengulas mengenai program derma darah sempena Hari Ulang Tahun APM Ke-70 peringkat APM Pahang itu, Che Adam berkata, seramai lebih 80 individu tampil mendaftar dan lebih 50 orang berjaya menderma darah sehingga tengah hari pada Khamis.