Manifesto Ikhtiar BN Johor bukti suara anak muda didengari

Iklan
Syed Mohd Johan Rizal

ALOR SETAR - Ikhtiar BN Johor yang merupakan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan suara anak muda di negeri itu didengari Barisan Nasional (BN).

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tawaran yang menampilkan 43 inisiatif itu mencerminkan kelangsungan masa depan Johor untuk kembali membangun secara holistik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Ikhtiar BN Johor juga akan menjadikan pentadbiran negeri lebih berintegriti selain memiliki hala tuju yang jelas buat anak muda Johor.

"Lima ikhtiar BN itu adalah satu perancangan yang realistik dan boleh dicapai bagi memakmurkan Johor, bukan sekadar janji palsu ‘manifesto bukan kitab suci’ yang dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dahulu,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Syed Mohd Johan Rizal berkata, program ‘Rent to Own’ dengan insentif RM1,000 bagi pasangan muda yang layak dan RM500 untuk anak muda mahasiswa daripada keluarga B40 menunjukkan BN benar-benar mendengar suara golongan muda.

"Komitmen BN Johor yang cakna menyediakan skim 3,200 lot perumahan generasi baharu Felda untuk manfaat anak muda Felda di Johor membuktikan kesinambungan kejayaan perjuangan Felda akan berterusan bawah kestabilan kerajaan BN,” katanya.

Iklan

Menurutnya lagi, Ikhtiar BN Johor turut menjanjikan pelan sokongan buat anak muda Johor yang memerlukan platform bersifat ‘futuristic’ menerusi penawaran Geran Keusahawanan Orang Muda Johor (OMJ) dan Pelan infrastuktur Digitalisasi untuk merancakkan pembangunan ekonomi negeri yang lebih mapan dan berdaya saing.

"Ia sekali gus mampu memberikan kesan limpahan kemakmuran ekonomi bukan sahaja buat rakyat dan orang muda di Johor, malah sebagai negeri untuk menumpang berteduh kepada semua golongan dari seluruh negeri,” katanya.

Syed Mohd Johan Rizal juga percaya inisiatif tersebut dengan satu matlamat mampu membawa keyakinan kepada pengundi Johor di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membuat pilihan tepat.

"Pengundi kini lebih bijak untuk mengembalikan mandat pentadbiran negeri Johor kepada BN, demi kestabilan masa depan yang lebih terjamin, selain memacu negeri kembali ke persada negara.

"Insya-ALLAH, Johor dan bangsa Johor akan kembali gemilang bersama BN,” katanya lagi.

Sebelum ini, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad mengumumkan Ikhtiar BN Johor terdiri daripada lima ikhtiar merangkumi Ikhtiar Kemajuan Ekonomi, Ikhtiar Kesejahteraan Rakyat, Ikhtiar Orang Muda Johor (OMJ), Ikhtiar Membudayakan Pentadbiran Berintegriti dan Ikhtiar Reformasi Politik.

Ia adalah usaha dalam masa lima tahun untuk mengembalikan kehebatan ekonomi Johor yang pernah menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan pelaburan negara.