PUTRAJAYA - Kadar kes kematian Covid-19 di Malaysia semakin meningkat, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Bagaimanapun, menurutnya jumlah itu dilihat lebih rendah berbanding ketika gelombang Delta sebelum ini.
"Vaksin sangat berkesan melindungi kita daripada kesan paling buruk Covid-19 seperti kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kematian," katanya menerusi hantaran di Twitter pada Khamis.
Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin turut berkongsi graf menunjukkan kadar kematian kes (CFR) Covid-19 semasa adalah sebanyak 0.2 peratus.
"Carta ini penting - ia menunjukkan CFR, ataupun peratus kematian daripada jumlah kes.
"Mengapa CFR semakin turun? Sebab majoriti kes tidak serius. Walaupun jumlah kes naik mendadak, kes serius naik sedikit sahaja,” katanya.
Menurutnya yang terkini, bagi setiap 100,000 kes, 200 orang meninggal dunia.
Graf dikongsikan beliau menunjukkan penurunan dalam kadar kematian pada bulan Februari tahun ini.
Menurut carta yang dikongsikan, jumlah kematian antara 17 Februari dan 2 Mac menunjukkan mereka yang tidak diberi vaksin mempunyai peluang lebih tinggi untuk dijangkiti virus itu berbanding mereka sudah menerima vaksin sepenuhnya atau telah menerima dos penggalak.
"Sebab itu strategi kita sekarang mesti melindungi mereka yang paling berisiko tinggi seperti warga emas.
Kalau tengok carta ini, jelas dos penggalak melindungi warga emas daripada kematian akibat Covid-19.
"Data kematian untuk tahun ini menunjukkan 91 peratus yang meninggal dunia akibat Covid-19 belum mengambil dos penggalak atau booster," katanya.