KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar diingatkan agar tidak mengugut rakyat dalam isu pengambilan dos penggalak khususnya membabitkan penerima vaksin Sinovac.
Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) berkata, tindakan keras itu bukan sahaja boleh merugikan kerajaan tetapi juga membuatkan rakyat lebih menolak untuk mengambil vaksin Covid-19 itu.
Beliau berkata, selaku menteri yang bertanggungjawab dalam aspek kesihatan, Khairy sepatutnya memilih untuk mengambil pendekatan mendidik daripada membuat ugutan sedemikian.
"Saya sebagai ahli Parlimen tidak setuju dengan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjadikan status vaksinasi mereka (penerima vaksin Sinovac) bertukar kepada tidak lengkap selepas 31 Mac ini sekiranya tidak mengambil dos penggalak.
"Saya minta KKM dan menteri fikirlah balik (tindakan untuk tukar statius kepada tidak lengkap) jika tidak mahu ambil dos penggalak. Janganlah kita ugut, nanti rakyat ugut kita balik.
"Kenapa kita perlu ambil tindakan sebegini? Kita kena fikir juga nasib rakyat yang bimbang dengan keselamatan mereka dengan pengambilan dos penggalak ini,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
KKM pada Rabu memutuskan untuk tidak akan melanjutkan tempoh pemberian dos penggalak kepada penerima vaksin Sinovac yang telah ditetapkan sehingga 31 Mac ini.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sekiranya golongan itu masih enggan mendapatkan dos penggalak selepas tarikh yang ditetapkan, status vaksinasi mereka akan bertukar kepada tidak lengkap.
Beliau turut menjelaskan tempoh lanjutan untuk penerima vaksin Sinovac itu tiada kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebaliknya ingin memberi masa kepada mereka yang belum berbuat demikian.