KUALA KUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah merangka beberapa strategi untuk merancakkan pengeluaran bahan makanan secara domestik di bawah Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 yang turut menyumbang dalam mengurangkan kebergantungan negara terhadap sumber import.
Timbalan Menteri II MAFI, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, strategi yang diambil itu juga bagi memastikan keselamatan makanan negara terus dipelihara dalam mendepani cabaran termasuk krisis kesihatan global ketika ini.
Katanya, antara strateginya adalah meningkatkan kecekapan rantaian bekalan melalui pembinaan dan penaiktarafan pusat pengumpulan, penyimpanan, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran serta kemudahan logistik dan pengangkutan.
"Selain itu, menambah baik infrastruktur dan kemudahan seperti jalan dan fasiliti ladang, pengaliran dan saliran kawasan sawah padi serta kompleks dan jeti pendaratan ikan melalui pelaksanaan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
"Seterusnya, memperluas akses pasaran petani melalui outlet pemasaran serta menggalakkan penyertaan usahawan dalam platform e-dagang dan platform kerjasama strategik dengan pihak swasta seperti Lazada dan Shoppe.
"Lain-lain strategi adalah merancakkan aktiviti pengeluaran makanan dengan pemberian subsidi dan insentif input tanaman seperti benih, baja dan racun khususnya untuk tanaman utama seperti padi.
"Strategi terakhir adalah menyediakan bantuan dan sokongan kepada pengeluar makanan seperti geran dan pinjaman bagi meningkatkan pengeluaran melalui mekanisasi dan automasi melalui Skim Pembiayaan Mikro Kredit dengan kemudahan pembiayaan mudah,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Zakaria Mohd Edris@Tubau (Bersatu-Libaran) yang meminta kementeriannya menyatakan bagaimanakah kementerian memastikan keselamatan makanan negara dipelihara berikutan rantaian bekalan makanan mengalami gangguan besar sejak awal tahun 2020 ekoran sekatan yang dicetuskan oleh krisis kesihatan global.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Nik Muhammad Zawawi yakin strategi tersebut dapat meningkatkan daya tahan sistem makanan negara.
"Saya yakin strategi itu berupaya menjadikan sistem bekalan makanan negara kekal utuh dalam apa jua keadaan ke arah menjamin kelangsungan bekalan makanan yang cukup, selamat, bernutrisi dan mampu beli secara berterusan kepada rakyat,” katanya.