SHAH ALAM - Beberapa kawasan di Selangor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat susulan kebakaran di kawasan belukar dan hutan sekitar daerah Sepang serta Kuala Langat baru-baru ini.
Exco Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, berikutan itu, kerajaan negeri menasihati orang ramai untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengelakkan mereka terdedah dengan udara tidak sihat.
Beliau berkata, berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, Selangor kini berada di peringkat amaran awal di mana semua jenis pembakaran terbuka adalah dilarang sama sekali.
"Berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan surat yang dihantar oleh Kementerian Pendidikan sebelum ini, pengurusan sekolah dan taska dinasihatkan untuk menghentikan aktiviti luar sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
"Dan jika bacaan IPU melebihi 200, sekolah dan taska dinasihatkan untuk menghentikan operasi mereka," katanya pada sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah mengambil beberapa tindakan antaranya seperti mengaktifkan Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Prosedur Tetap Operasi (SOP), Program Pencegahan Kebakaran di Tanah Gambut mulai 10 Januari lalu.
Beliau berkata, bilangan rondaan dan pemantauan kawasan berisiko berlakunya pembakaran terbuka seperti di Johan Setia turut ditingkatkan bermula jam 2 petang hingga 11 malam.
Dalam pada itu, buat masa ini, JAS Selangor masih melaksanakan pemantauan indeks kualiti udara bagi kesemua lima stesen di Selangor dan sehingga jam 3 petang semalam, semua bacaan di stesen terlibat mencatatkan bacaan sederhana.