Medic Centre bencana kimia kini ditutup

Iklan
Pusat Rawatan (Medic Base) Stadium Tertutup Pasir Gudang untuk mangsa terjejas akibat bencana pencemaran kimia di Sungai Kim Kim ditutup dengan rasminya hari ini.

PASIR GUDANG - Pusat Rawatan (Medic Base) Stadium Tertutup Pasir Gudang untuk mangsa terjejas akibat bencana pencemaran kimia di Sungai Kim Kim ditutup dengan rasminya hari ini.

Pusat rawatan yang menempatkan puluhan agensi, sukarelawan dan pengamal perubatan itu sebelum ini dibuka pada 14 Mac lalu susulan dua pusat rawatan awal di Dewan Serbaguna Taman Pasir Putih dan Dewan Taman Mawar ditutup.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian di lokasi berkenaan sebentar tadi mendapati rata-rata petugas di lokasi itu sudah mula mengemas peralatan dan barangan masing-masing.

Beberapa khemah untuk ujian saringan mangsa yang ditempatkan di luar kawasan stadium juga dilihat sudah ditutup.

Iklan

Turut kelihatan beberapa jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor yang berkumpul untuk menyimpan semua kelengkapan mereka.

Bagaimanapun, keadaan di dalam stadium berkenaan setakat jam 11.47 pagi tadi menyaksikan operasi dekontaminasi untuk para petugas dan sukarelawan sedang dilakukan.

Iklan

Sebelum itu, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal memaklumkan, penutupan itu susulan perkembangan positif kualiti udara di persekitaran Sungai Kim Kim yang sudah kembali pulih.

"Jumlah pesakit berkurangan dan kualiti udara sudah kembali pulih. Hasil mesyuarat JPBB malam tadi bahawa kami ambil keputusan dengan perkembangan positif ini untuk menutup secara rasmi Pusat JBPP dan Pusat Rawatan Medic Base hari ini.

"Kerajaan negeri ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, pasukan keselamatan, anggota kesihatan, institusi pendidikan, pihak swasta, NGO, sukarelawan dan para pengamal media yang terlibat secara langsung atau tidak dalam kerja pengurusan ini," katanya.