SHAH ALAM - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bersama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan anak syarikatnya FRIM Inc telah menjalankan program ‘Technology Pitching’ bagi memberi pendedahan serta peluang kepada penyelidik FRIM mempromosikan penemuan, inovasi dan hasil penyelidikan kepada bakal pelabur dan pemain industri.
Presiden DPMM, Abdul Halim Husin berkata, program itu turut membolehkan pertukaran maklumat mengenai teknologi dan produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk melonjakkan lagi pengkomersialan R&D tempatan.
"DPMM melalui ahli-ahlinya yang merupakan pemain industri berperanan meneroka peluang hasil kajian penyelidik untuk dikomersialkan ke peringkat yang lebih tinggi.
"Penyelidik dan pemegang taruh perlu bijak mengambil peluang hasil sokongan yang diberikan oleh kerajaan dalam usaha menyokong perkembangan sains dan teknologi dengan peruntukan RM400 juta oleh kerajaan khusus untuk tujuan R&D,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, bagi mewujudkan ekosistem yang lebih kompetitif, kerajaan juga telah menjalankan galakan cukai bagi pengkomersialan hasil penyelidikan dan pembangunan.
Katanya, hasil kajian hanya kekal di atas kertas semata-mata walaupun pelbagai usaha dilaksanakan dalam bidang R&D untuk ke peringkat yang lebih tinggi.
"Ia tidak diterjemahkan kepada nilai komersial yang dapat memberi impak besar kepada komuniti dan mencipta peluang ekonomi.
"Kemasukan Malaysia dalam perjanjian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bersama rakan-rakan Asean dan negara lain seperti New Zealand, Australia, Korea Selatan, Jepun dan China yang berkuatkuasa Januari tahun ini seharusnya dipandang serius.
"Ini kerana produk-produk negara kita kini boleh dipasarkan ke negara-negara anggota RCEP dengan jangkaan nilai dagangan lebih 12 trillion dolar Amerika Syarikat.
"Jika kita tidak merancakkan pengkomersilan produk R&D yang berkualiti dan berdaya maju, kita akan terus ketinggalan, bahkan hanya akan menjadi pembeli semata-mata,” ujarnya.
Abdul Halim berkata, antara faktor R&D yang dihasilkan tidak dapat dikomersialkan adalah kerana tidak memenuhi permintaan pasaran dan tidak ada perbincangan awal dengan pemegang taruh sebelum penyelidikan dimulakan.
Justeru ujarnya, perlu ada jalinan kerjasama yang baik antara penyelidik dan pemegang taruh dalam membentuk satu ekosistem R&D yang baik bermula daripada pelaksanaan kajian sehinggalah hasil itu dapat dikomersialkan.