SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukan sebanyak RM19,500 untuk membantu keluarga-keluarga B40 dari segi persiapan kelengkapan barang persekolahan yang bakal bermula hujung Mac ini.
Datuk Bandar, Mohamad Azhan Md Amir berkata, seramai 65 keluarga mendapat manfaat menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB), yang mana setiap keluarga menerima baucar sebanyak RM300 untuk membeli kelengkapan sekolah di Hypermarket Mydin USJ, di sini.
Menurutnya, program tersebut selaras dengan konsep 10 Program Berimpak Tinggi yang disusun oleh pihaknya yang memberi fokus kepada pembangunan golongan miskin bandar dan kesejahteraan komuniti keluarga.
Tambahnya, sumbangan tersebut diberikan bagi meringankan bebanan kewangan golongan kurang berkemampuan yang pendapatan RM2,000 ke bawah serta mempunyai tanggungan anak bersekolah yang ramai.
"Sejak 2002, kita bekerjasama dengan pelbagai pihak, tapi secara kerap dengan Mydin kerana mereka menawarkan tawaran harga yang lebih baik untuk barangan kelengkapan ke sekolah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Jom Shopping Kembali ke Sekolah di Hypermarket Mydin USJ, di sini pada Khamis.
Salah seorang penerima bantuan, Noorlaila Mat Jelani, 36, berkata, sumbangan tersebut membantu kurangkan beban perbelanjaan keluarganya terutamanya setelah suami mengalami kecederaan patah kaki dan tangan dalam kemalangan menuju tempat kerja pada November lalu.
Dia yang merupakan seorang suri rumah berkata, kebanyakan wang perbelanjaannya sebelum ini banyak dihabiskan untuk sesi terapi fisiologi suaminya dan ulang-alik ke hospital bagi tujuan berkenaan.
"Ada orang beritahu kepada suami untuk mohon bantuan ini, jadi suami berikan namanya dan nama anak, jadi memang tidak sangka saya layak terima bantuan ini.
"Jadi bantuan ini dapat kurang bebanan kami untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak terutamanya musim sekolah yang bakal bermula tidak lama lagi," katanya yang mempunyai empat orang anak.
Penerima lain, Mohd Ali Sharif, 51, pula memberitahu sumbangan tersebut dapat membantu tampung perbelanjaan hariannya lantaran pekerjaannya sebagai pemandu teksi agak terjejas akibat pandemik Covid-19.
"Pendapatan saya tidak mencapai ribuan ringgit dan tidak cukup untuk menampung keluarga," katanya.