Kembar empat cemerlang STPM terima RM3,000

Iklan
Dari kiri, Intan Norliana, Intan Nordiana, Intan Norfazrina dan Intan Norsyazrina menunjukkan keputusan STPM 2018 mereka.
KLUANG – Empat pasangan kembar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil (SSAJ), di sini, berjaya meraih kejayaan tersendiri selepas masing-masing mencatatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2018.

Ibu mereka, Rozita Abdullah, 46, berkata, empat anak kembarnya iaitu Intan Norliana, Intan Nordiana, Intan Norfazrina dan Intan Norsyazrina Suhaimi, 20, berjaya mencatatkan keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) di antara 3.17 hingga 3.75.

"Sejak dari tadika lagi mereka berempat memang tak pernah berpisah. Masa di sekolah rendah dan menengah pun belajar dalam kelas yang sama dan selalu bersaing sesama sendiri," katanya.

Dia ditemui semasa menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Integrasi Nasional (PIN) Negeri Johor, Datuk Seri S.K Tangakaliswaran dan Penyelaras PIN Cawangan Kluang, G Raman di rumahnya di Kuarters Penjara Kampung Gajah, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia dan suaminya, Suhaimi Sulaiman, 51, juga bersyukur apabila kesemua anak kembarnya itu berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam STPM 2018 yang diumumkan minggu lalu.

"Mereka bercadang nak sambung belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak. Kami tak pernah halang dan sentiasa sokong apa yang mereka nak lakukan. Sebagai ibu bapa kami hanya nak yang terbaik untuk anak-anak," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri S.K Tangakaliswaran berkata, kunjungan pihaknya adalah untuk meraikan kejayaan empat beradik kembar yang mencatat keputusan cemerlang dalam STPM 2018, baru-baru ini.

"Di samping itu, kami juga berbesar hati untuk menyampaikan sumbangan RM3,000 sebagai suntikan semangat untuk mereka melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) nanti," katanya.