Ahmad Idham, Eizlan Yusof tidak lagi bersama Kementerian Luar

Iklan
Eizlan Yusof (kiri) dan Ahmad Idham

SHAH ALAM - Pelakon, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Datuk Seri Eizlan Yusof tidak lagi bersama Kementerian Luar.

Menurut Sinar Daily, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kontrak mereka telah ditamatkan.

Iklan
Iklan

Tanpa menyebut secara spesifik tarikh kontrak ditamatkan, Sinar Daily difahamkan ia berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memaklumkan bahawa kontrak setiausaha sulitnya, Datuk Fizal Fauzi juga telah ditamatkan.

Iklan

Ahmad Idham dilantik sebagai setiausaha kebudayaan manakala Eizlan dilantik sebagai penasihat kreatif pada 1 November tahun lepas.

Sebelum pelantikan berkenaan, Ahmad Idham adalah ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Iklan

Dalam temu bual pada Disember lalu, Saifuddin berkata beliau terpaksa menggunakan sumber yang ada kerana kementerian tidak memperuntukkan bajet untuk memulakan diplomasi budaya dan kedua-dua individu ini telah menawarkan diri mereka bagi jawatan berkenaan.

Beliau juga berkata Ahmad Idham dan Eizlan tidak dibayar gaji yang tinggi berbanding pekerjaan mereka sebelum ini.

Bagaimanapun, ditanya mengenai sebab kontrak mereka ditamatkan, Saifuddin berkata beliau tidak mempunyai sebarang komen berhubung perkara itu.

"Saya tiada sebarang komen mengenai perkara ini,” katanya kepada Sinar Daily.

Saifuddin. - Foto Bernama

Sumber rapat dengan kementerian itu berkata kedua-dua selebriti itu berharap mendapat peruntukan kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang di bawah tiket Bersatu.

Beliau berkata mereka mempunyai aspirasi politik yang tinggi dan berharap mendapat sokongan daripada menteri berkenaan yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang.

"Mereka tidak dialu-alukan oleh ahli parti kerana mereka tidak mempunyai kelebihan dalam politik dan tidak mempunyai akar umbi.

"Peminat dan populariti mereka tidak cukup kuat untuk mewajarkan alasan untuk bertanding kerana terdapat lebih banyak calon yang layak.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa Ahmad Idham dan Eizlan mungkin ditawarkan bertanding di bawah tiket parti lain.