Banjir: Tiada bekalan air, penduduk sukar bersihkan rumah

Iklan
Penduduk menggunakan air bertakung di dalam longkang di hadapan rumah untuk membersihkan beberapa perkakas dapur dan sebagainya. - Foto Bernama

PASIR MAS - Sebahagian 500 penduduk Taman Desa Wira Jaya, Lubok Jong di sini mengalami kesukaran untuk membersihkan rumah masing-masing akibat banjir berikutan bekalan air masih belum pulih di sekitar perumahan tersebut.

Nor Azila Jana, 38, berkata suaminya, Muhamad Yahya, 45, terpaksa menggunakan air bertakung di dalam longkang di hadapan rumah mereka untuk membersihkan beberapa perkakas dapur dan sebagainya.

Iklan
Iklan

"Difahamkan mesin pam air di perumahan ini mengalami kerosakan kerana dimasuki air sejak Sabtu lepas dan sehingga kini ia belum dibaik pulih.

"Sudah berpuluh baldi air diangkut (dari longkang), ini (ketiadaan air) menyulitkan kami sekeluarga untuk membersihkan rumah," katanya yang ditemui Bernama di kediamannya pada Khamis.

Iklan

Nor Azila berharap masalah bekalan air di kawasan perumahan itu dapat diatasi segera bagi memudahkan penduduk membersihkan rumah dan melakukan aktiviti harian lain.

Nur Khairunisa Mohd Rizki, 34, pula berkata beliau sekeluarga dibantu beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang juga rakan suaminya untuk membersihkan rumah.

Iklan

"Walaupun suami saya, Lans Koperal Mohd Zaidi Mat Tahir sedang bertugas di Sabah, saya sangat bersyukur dan bertuah kerana beberapa rakan suami sanggup datang membantu membersihkan rumah memandangkan bekalan air masih belum ada," katanya. - Bernama