PRN Johor: Maszlee nafi jadi calon MB

Iklan
Maszlee berucap pada Ceramah Umum DUN Layang-Layang ketika tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Johor ke-15 di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi Bandar Layang-Layang malam ini. - Foto Bernama

KLUANG - Calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Dr Maszlee Malik menafikan cakap-cakap politik kononnya beliau merupakan calon Menteri Besar jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Jauh sangat bayangan itu. Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) tidak menyentuh mengenai Menteri Besar.

Iklan
Iklan

"Beliau hanya meminta undi saya dan memberi sokongan kepada PKR dan PH untuk membawa Johor ke tahap lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas memberikan ceramah di Bilik Gerakan PKR bagi DUN Layang-Layang di sini malam ini.

Maszlee, yang menyertai PKR pada November lepas, berkata demikian sebagai mengulas ceramah Anwar yang menyatakan terdapat sebab Ahli Parlimen Simpang Renggam itu sebagai calon pada PRN Johor sekali gus dilihat seolah-olah memberi bayangan sebagai calon Menteri Besar pakatan tersebut.

Iklan

Beliau juga meminta maaf kepada pengundi Simpang Renggam kerana tidak dapat menunaikan semua janji PH yang ditabur pada Pilihan Raya Umum ke-14 berikutan hanya berpeluang memerintah negara selama 22 bulan.

Maszlee juga menafikan telah melompat parti sebaliknya mendakwa Bersatu mengkhianatinya dengan ‘membuang’ beliau kerana tidak bersetuju parti itu meninggalkan PH dan membentuk gabungan politik baharu iaitu Perikatan Nasional (PN).

Iklan

Dalam perebutan kerusi Layang-Layang, Maszlee dicabar oleh K. Alagathiran daripada PN, Abdul Mutalib Abd Rahim (Barisan Nasional) dan Ahmad Shafiq Othaman yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). - Bernama