KUALA LUMPUR - Sebanyak 952,411 individu atau 26.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) setakat Khamis.
Berdasarkan data yang dipaparkan di laman web COVIDNOW, sejumlah 14,884,826 individu atau 63.3 peratus populasi dewasa di negara pula telah menerima dos penggalak Covid-19 dan seramai 22,952,385 atau 97.6 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,232,115 atau 98.8 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Iklan
Iklan
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,802,856 individu atau 90.1 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,899,581 atau 93.2 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Vaksinasi harian pada Khamis menyaksikan 96,621 dos vaksin diberikan meliputi 23,871 dos pertama, 1,469 dos kedua dan 71,281 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 67,516,578.
Sementara itu menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 86 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan 20 kes di Johor, diikuti Perak (11), Kedah (sembilan), Melaka dan Sabah masing-masing tujuh kes, Pahang dan Kuala Lumpur masing-masing dengan enam kes, Kelantan (lima), Pulau Pinang dan Selangor masing-masing empat kes, Putrajaya (tiga), Perlis (dua) manakala Sarawak dan Terengganu masing-masing merekodkan satu kes.- Bernama