KOTA KINABALU - Syarikat Penerbangan Firefly menawarkan pilihan kepada penumpang, khususnya musim perayaan dengan mengembalikan semula operasi mereka menerusi penerbangan pergi balik Kota Kinabalu-Pulau Pinang, bermula 11 April depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See menjangkakan pembukaan semula laluan menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dengan hab Firefly di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas itu mendapat sambutan menggalakkan.
"Kami melancarkan laluan ini tiga minggu sebelum waktu kemuncak musim perayaan Hari Raya, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
"Bermula 11 April, penerbangan pergi balik Pulau Pinang-Kota Kinabalu beroperasi sekali sehari dan pada 25 April penerbangan ditambah dua kali sehari.
"Ini kerana, pada minggu pertama Mei, penerbangan akan penuh disebabkan perayaan Hari Raya dan ia bersambung dengan hujung bulan bagi perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai," katanya kepada media pada sesi pertemuan dengan media, di sini, pada Khamis.
Ditanya berhubung isu kenaikan harga tiket penerbangan yang mendadak pada musim perayaan, Philip memberi beberapa tip kepada penumpang yang ingin pulang ke kampung terutama pada waktu kemuncak.
"Menjelang Hari Raya, ramai orang akan bercuti jadi apabila permintaan tinggi harga akan naik. Jadi penting untuk kita mendidik orang ramai supaya menempah tiket penerbangan dengan lebih awal.
"Selain itu, penumpang juga harus menempah tiket penerbangan mereka sebelum waktu kemuncak," katanya.
Philip berkata, dengan pembukaan semula laluan Pulau Pinang-Kota Kinabalu, ia turut merancakkan lagi industri pelancongan antara Sabah dan Semenanjung.
"Sabah mempunyai banyak tarikan pelancongan terutama pengunjung dari Pulau Pinang yang datang berkunjung ke negeri ini.
"Kita menyediakan sebanyak 189 tempat duduk dalam setiap penerbangan dan sasaran pasaran kami adalah mereka yang datang untuk bercuti, yang membuat pemilihan dari segi harga dan mereka yang berkunjung untuk melawat rakan dan keluarga," katanya.
Sebelum ini, Philip memaklumkan Firefly turut mengembalikan operasi penerbangannya dari hab Pulau Pinang ke Johor Bahru dan Kuching.