SHAH ALAM - Pemuda UMNO membidas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang memaklumkan pihaknya tidak bercadang untuk membenarkan lagi pengeluaran oleh pencarum menerusi idea i-Ceria.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan tindakan tersebut ‘angkuh’ sehingga menafikan hak pencarum yang sedang susah dan terdesak ketika ini.
Beliau berkata, pihak KWSP sepatutnya merujuk semula Seksyen 54 Akta KWSP 1991 yang membenarkan pengeluaran bagi tujuan kelangsungan hidup.
"Janganlah angkuh sangat sehingga menafikan hak pencarum yang sedang susah dan terdesak ketika ini yang hakikatnya dijamin oleh Akta KWSP 1991.
"Rujuklah balik Seksyen 54 akta tersebut yang membenarkan pengeluaran bagi tujuan kelangsungan hidup dan kurungan (m) secara spesifik menggariskan kebenaran pengeluaran akibat pandemik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, melihat kepada trend i-Citra 1.0 yang lalu, tidak sampai RM22 bilion yang dikeluarkan, berbanding aset pelaburan KWSP melebihi RM1 trilion.
"(Ini) bermakna hanya dua peratus implikasi terhadap aset KWSP. Bukan semua pun yang nak keluarkan simpanan mereka!
"Janganlah asyik membicarakan kehidupan hari tua jika kelangsungan hidup hari ini pun belum terjamin!” katanya.
Pada Khamis, Amir Hamzah memberitahu pihaknya tidak bercadang untuk membenarkan lagi pengeluaran menerusi i-Ceria sepertimana yang dicadangkan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.
Menurutnya, apa yang utama sebagai pengurus dana persaraan adalah memenuhi mandat untuk membina semula simpanan hari tua pencarum.
Tambah beliau, tempoh bagi tiga skim pengeluaran sudah pun berakhir iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.