Manifesto PN Johor realistik, tawaran air percuma mampu direalisasikan

Iklan

Ikrar Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, diyakini mampu direalisasikan kerana itu adalah rumusan realistik serta dibuat berdasarkan kajian.

Calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, penilaian berkenaan ikrar tersebut adalah berdasarkan pengalaman mentadbir kerajaan, selain kepakaran ahli-ahli parti yang datang daripada pelbagai latar belakang.

Iklan
Iklan

"Sekiranya kita berjaya membentuk kerajaan, kita akan berusaha sehabis baik. Ikrar PN ini dihasilkan daripada penglibatan banyak pihak, daripada golongan profesional, pakar ekonomi dan tokoh-tokoh politik.

"Kerangkanya juga dibuat berdasarkan pengalaman mereka yang pernah berjasa dalam kerajaan negeri termasuk saya sebagai Menteri Besar Johor sebelum ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pernah memegang jawatan sama dan Perdana Menteri Malaysia.

Iklan

"Justeru, kita rasa tiada masalah untuk melaksanakannya kerana semua yang ditawarkan adalah perkara dinilai sebaiknya, bukan semata-mata untuk meraih undi,” katanya pada Sinar Harian di sini, pada Khamis.

Calon PN DUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal

Iklan
Sahruddin berkata, tawaran seperti pemberian kad prihatin Johor dan skim pemberian air percuma 20 meter padu kepada golongan berpendapatan rendah adalah antara teras utama ingin ditonjolkan PN sebagai kerajaan yang faham dengan keadaan terkini rakyat.

"Sebab itu kita tidak panggil manifesto, ia adalah aku janji kita daripada PN yang mahu memberi bantuan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Johor.

"Paling utama kesediaan kita untuk tawaran skim air percuma 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah. Tawaran berkenaan, kita tidak nyatakan spesifik kepada golongan B40 kerana ada golongan lain yang kini memerlukannya.

"Kita akan menilai semula, contohnya satu keluarga yang mempunyai pendapatan RM2,000 tetapi mempunyai dua anak, berbeza dengan satu keluarga lain pendapatan sama tetapi anak empat. Perkara itu kita akan ambil kira,” kata beliau.

Sahruddin yang juga Setiausaha PN Johor memaklumkan pemberian bantuan air percuma itu akan merangkumi semua golongan berkelayakan tidak kira di kawasan bandar mahupun luar bandar.

"Skim ini dahulu semasa kami berada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), ia telah dilaksanakan, tiada masalah.

"Cuma kali ini dengan kekuatan parti yang lebih kukuh, kita mahu lakukan penambahbaikan iaitu menambah lagi jumlah bantuan kepada 20 meter padu air percuma,” jelas beliau.

Katanya lagi, Ikrar PN bagi PRN Johor itu amat dekat dengan kehidupan semasa rakyat pada masa kini, serta perkembangan situasi ekonomi negeri yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Jelasnya, kos sara hidup yang membelenggu rakyat diberikan perhatian sewajarnya oleh PN apabila pelbagai inisiatif lain turut rangka dan akan diterjemahkan jika diberi mandat oleh rakyat.

Ujar beliau, PN juga mempunyai pelbagai perancangan diterapkan dalam ikrar berkenaan yang semestinya begitu dekat dan mesra dengan Bangsa Johor.

"Bukan sahaja tawaran air, kita juga akan melakukan Program Jualan Prihatin Rakyat, penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan serta bantuan khas nelayan.

"Saya berharap Ikrar PN bagi PRN Johor akan diterima baik oleh Bangsa Johor, sekali gus pengundi sama-sama membuat keputusan terbaik dengan memilih kesemua 56 calon kami yang bertanding,” kata beliau.

REAKSI RAKYAT

Azman

"Tawaran pemberian air percuma kepada rakyat bagi saya sangat bagus. Sudah lama rakyat minta bantuan seperti ini." - Pemandu Teksi, Azman Abdul Aziz, 54

Rahmat

"Manifesto pemberian air percuma ini saya lihat dapat memberi manfaat kepada rakyat terutama dari segi membantu mengurangkan kos sara hidup kamil." - Pemandu teksi, Rahmat Jamil, 64

Siti Noridah

"Pada saya, bantuan air percuma seperti ini amat bagus. Bil air di kawasan rumah saya agak tinggi, jadi sudah tentu ia akan memberi manfaat kepada saya." - Peniaga, Siti Noridah Bahrom, 44

Teh Kok Heng

"Pemberian air percuma sebanyak 20 meter tentulah boleh membantu masyarakat terutamanya keluarga berpendapatan rendah." - Penjual sayur, Teh Kok Heng, 46

Saravana Kumar

"Bagi saya, bantuan beri air percuma itu bagus sebab kos sara hidup semakin tinggi. Jadi ini amat bermakna kepada rakyat." - Penjaga stor, Saravana Kumar Ramadas, 34

Samidah

"Ikrar pemberian air percuma cukup baik. Sekarang ini tekanan dirasai lebih-lebih dengan kenaikan harga barang. Bila dapat air percuma nanti pastinya rakyat gembira.” - Pekerja restoran, Samidah Mohd Said, 57

Azah

"Air percuma 20 meter padu itu yang dijanjikan PN sangat menarik. Pemberian itu bukan sahaja dapat ringankan beban rakyat bandar tetapi juga kami penduduk di luar bandar.” – Pembantu restoran, Azah Nasiron, 49

Mohd Yassin

"Saya ada membaca di akhbar mengenai pemberian air percuma dalam ikrar manifesto PN. Saya berpendapat ini antara tawaran yang menarik kepada rakyat.” - Peniaga, Mohd Yassin Mohd Yusof, 61