ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Pengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak perlu lagi ragu-ragu untuk memilih Barisan Nasional (BN) kerana hanya parti itu yang mementingkan kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat.
Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan berkata, ini dibuktikan dengan prestasi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) serta parti-parti lain yang dilihat kucar-kacir ketika mentadbir negara, malah turut menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara.
Menurutnya, BN terbukti sebagai sebuah parti yang mampu memberikan tawaran perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Ini bukan suatu retorik mahu pun slogan yang sering digula-gulakan oleh parti lain setiap kali menjelang pilihan raya.
"Sejak sekian lama Johor telah memilih UMNO-BN yang tradisinya memang membela dan membantu rakyat," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Hasmuni yang juga Ketua Pemuda Kubang Pasu berkata, apa lagi pilihan yang ada selain BN yang sentiasa komited membantu dan membela rakyat dalam apa jua keadaan.
"Ini adalah peluang untuk rakyat negeri Johor mengubah keadaan menjadi lebih baik, lebih makmur dan lebih stabil.
"Oleh itu, pilihlah BN sebagai parti yang akan membawa kestabilan masa depan negeri mahupun negara," katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my