Ibu tunggal didakwa menipu peniaga

Iklan
Seorang buruh mengaku tidak bersalah menipu peniaga dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuantan selepas selesai sebutan kesnya pada Jumaat.

KUANTAN - Seorang ibu tunggal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan pada Jumaat atas tujuh pertuduhan menipu peniaga hingga mendorong mangsa menyerahkan wang, barangan dan tambah nilai telefon dengan jumlah keseluruhan RM903.

Tertuduh, Siti Farah Noraisah Hussin, 26, dari Taman Pandan Aman 2 di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Aini Adila Muhammad Faizal dalam Mahkamah Majistret 1, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dua premis kedai di Air Putih dan Tanjung Lumpur di sini antara 19 hingga 22 Februari lalu.

Wanita berkenaan dituduh menipu dua peniaga hingga mendorong mangsa menyerahkan wang, barang dan tambah nilai telefon bernilai antara RM80 hingga RM223.

Iklan

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah ditawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin bercagar.

Sementara itu dalam mahkamah berasingan, tertuduh berdepan tuduhan menipu peniaga sebuah gerai di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kuantan hingga mendorong mangsa menyerahkan tambah nilai telefon dan barangan bernilai RM150.

Iklan

Berdasarkan pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen,tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 3.09 petang, 23 Februari lalu.

Bagi kes itu tertuduh juga ditawarkan jaminan RM5,000 oleh pihak pendakwaan.

Semua pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu dibacakan di hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.

Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dalam rayuannya memohon wang jaminan itu dikurangkan.

Tertuduh yang bekerja sebagai peniaga sate dengan pendapatan RM800 sebulan terpaksa menyara bayinya yang baru berusia dua tahun.

Mengambil kira rayuan tertuduh, Ainis membenarkan wang jaminan itu dikurangkan kepada RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah keseluruhan RM14,000.

Mahkamah menetapkan 21 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang buruh didakwa atas tuduhan menipu peniaga dengan mengemukakan resit tidak wujud sebagai bukti bayaran hingga mendorong mangsa menyerahkan wang dan barangan bernilai RM150.

Tertuduh, Wong Gyik Keong, 32 dari Taman Impianku di sini didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah gerai UTC Kuantan pada 23 Februari lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ekoran pengakuan tidak bersalah tertuduh, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 sebelum dikurangkan kepada RM2,500 selepas dia membuat rayuan.