Penolong pegawai tanah maut nahas tiga kenderaan

Iklan
Keadaan kereta dipandu mangsa selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Tanjung Lumpur, pada Jumaat. - Foto ihsan JBPM Pahang

KUANTAN - Seorang pemandu maut dalam kemalangan melibatkan dua kereta dan pacuan empat roda di Jalan Tanjung Lumpur di sini, pada Jumaat.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.50 pagi itu, mangsa, Ahmad Syaheer Yahaya, 38, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Tanah Daerah Pekan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu pacuan empat roda, Mohamad Nor Iman Sahak, 28, luka pada bahagian kepala dan pemandu sebuah lagi kereta,Low Li Hoon, 57 tidak cedera.

Menurutnya, seorang kanak-kanak perempuan yang juga penumpang pacuan empat roda, Nur Iffat Amni Mohamad Nor Iman, 4, cedera pada bahagian mulut dan lutut.

Iklan

"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menghala ke Tanjung Lumpur.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan pacuan empat roda jenis Isuzu yang berada di laluan tersebut," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Wan Mohd Zahari berkata, pada masa sama, sebuah kereta jenis Proton Saga dari arah Tanjung Lumpur gagal mengelak lalu terlanggar bahagian belakang pacuan empat roda itu.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

"Dua mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.