Nasib malang rakyat Palestin ujian masyarakat Islam seluruh dunia

Iklan
Umat Islam diingatkan kewajipan mempertahankan Masjid Al-Aqsa yang mempunyai kedudukan amat mulia, kiblat pertama umat Islam dan tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. - Foto Mahmoud Illean/AP

IPOH - Israk dan Mikraj merupakan peristiwa yang secara khusus mengaitkan pensyariatan solat iaitu hubungan manusia dengan ALLAH SWT.

Teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertajuk Masjidil Aqsa dan Nilai Kemanusiaan dibacakan di seluruh masjid negeri ini menyebut kewajipan manusia menunaikan solat lima waktu sehari semalam adalah perintah yang diterima oleh Rasulullah SAW secara langsung daripada ALLAH SWT.

Iklan
Iklan

"Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Masjidil Aqsa yang terletak di Baitulmuqaddis, bumi Palestin menjadi perantara perjalanan dari bumi ke langit. Di Masjidil Aqsa, Nabi Muhammad SAW telah mengimamkan solat bersama para anbia.

"Peristiwa ini menjadi asas bahawa baginda ialah penghulu para anbia dan syariat baginda adalah untuk semua umat manusia.

Iklan

"Baitulmuqaddis merupakan tempat suci bagi tiga penganut agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi dan ia merupakan tempat suci umat Islam kerana di situlah terletaknya Masjidil Aqsa, kiblat pertama umat Islam dan masjid ketiga paling mulia," katanya.

Menurut khutbah itu, nasib malang yang sedang menimpa rakyat Palestin yang kini di bawah cengkaman Yahudi Zionis amat menginsafkan selain ditafsirkan sebagai pengajaran dan ujian Ilahi terhadap seluruh masyarakat Islam di serata dunia.

Iklan

Jelasnya, sejak tertubuhnya negara Israel pada 14 Mei 1948, bermulalah siri pembantaian rakyat Palestin secara terancang hinggakan ramai yang turut dibunuh.

"Kawasan yang diceroboh semakin melebar akibatnya bangsa Arab Palestin ‘terpenjara’ di kawasan Gaza dan Tebing Barat. Hampir 6 juta rakyat Palestin menjadi pelarian menjadikan jumlah teramai yang direkodkan dalam sejarah masyarakat pelarian.

"Walaupun secara zahir umat Islam kelihatan boleh beribadah di Masjidil Aqsa, tetapi kebenaran untuk beribadah adalah tertakluk kepada kawalan ketat tentera Israel.

"Malah tentera Israel pada bila-bila masa boleh menceroboh Masjidil Aqsa, bertindak ganas, mengganggu umat Islam yang mahu beribadat seperti yang dilakukan pada 10 Mei 2021 terhadap penduduk Palestin yang sedang melaksanakan ibadah di bulan Ramadan," katanya.

Khutbah Jumaat itu menyebut bahawa pemimpin, negara dan umat Islam yang telah dilimpahi nikmat kekayaan dan kesenangan mempunyai tanggungjawab sesama manusia untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Mimbar turut mengingatkan para jemaah akan kewajipan umat Islam mempertahankan Masjid al-Aqsa yang mempunyai kedudukan amat mulia, kiblat pertama umat Islam, tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj serta masjid ketiga yang dituntut untuk beribadat di dalamnya.

"Solat merupakan perintah yang disampaikan secara langsung dari ALLAH SWT kepada Rasulullah SAW tanpa perantaraan Malaikat Jibrail AS. Tanggungjawab menunaikan solat lima waktu setiap hari wajib dilaksanakan dan jangan sama sekali diabaikan agar hidup kita mendapat berkat, lindungan dan panduan Ilahi.

"Umat Islam di seluruh dunia mempunyai tanggungjawab fardu kifayah dan kemanusiaan untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk Palestin.

"Doa ialah senjata rohani. Umat Islam perlu sentiasa berdoa semoga ALLAH SWT memberikan kekuatan dan kesejahteraan serta memberikan perlindungan dan pembelaan terhadap kumpulan yang lemah di samping memohon agar ALLAH SWT menurunkan pembalasan untuk dijadikan pengajaran kepada pihak-pihak yang melakukan kezaliman," katanya.

Teks khutbah Jumaat itu turut mengingatkan Muslimin agar berpegang kepada aqidah Islamiah berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in.

"Jagalah hubungan dengan ALLAH SWT dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah ALLAH dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutamanya solat fardu berjemaah. Perbanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW," katanya.