Usaha pergiatkan ekonomi di Semarang

Iklan
Shazani beramah mesra dengan penduduk di DUN Semarang

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah memasuki hari kelima dan pelbagai cara dan isu mahu dipejuangkan oleh 239 calon yang bertanding di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Turut tidak terkecuali, salah seorang calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Semarang, Shazani A Hamid yang akan menentang Adzlan Raju (Pejuang), Haryati Abu Nasir (PKR) dan Datuk Samsolbari Jamali (BN).

Iklan
Iklan

Ikuti temubual Wartawan Sinar Harian, Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid mengenai perubahan dan harapan yang mahu dibawanya.

SINAR HARIAN: Apakah masalah yang Shazani nampak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semarang ini dan boleh memperbaikinya?

Iklan

SHAZANI: Isu kehidupan merupakan isu utama di Ayer Hitam. Saya membesar di sini. Saya dapat lihat bagaimana aktiviti ekonomi di Ayer Hitam semakin menguncup. Kenapa saya mengatakan begitu? Indikator paling mudah adalah apabila ramai orang di Ayer Hitam yang keluar mencari rezeki di luar Ayer Hitam. Kita dapat lihat juga hanya satu bank sahaja yang beroperasi di Pekan Ayer Hitam.

Ini menunjukkan ekonomi di sini tidak berkembang sejak belasan tahun dahulu. Bandar-bandar jiran seperti Parit Raja, Yong Peng, Simpang Renggam pesat membangun. Sepatutnya Ayer Hitam lebih maju dari Parit Raja kerana kedudukannya yang lebih hampir dengan lebuh raya. Tetapi tidak, bandar Ayer Hitam sepi daripada sebarang pembangunan.

Iklan

Saya telah mempunyai perancangan yang bakal dilaksanakan untuk memacu ekonomi Ayer Hitam dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan khas kepada masyarakat Ayer Hitam khususnya pengundi-pengundi di DUN Semarang.

Isu penempatan juga merupakan isu utama di sini. Sejak lebih 10 tahun, ketiadaan penempatan-penempatan yang mampu dimiliki golongan pertengahan memaksa mereka untuk keluar menetap di luar Ayer Hitam. Bagi anak-anak muda yang baru memulakan kehidupan berkeluarga, hampir mustahil untuk dapat memiliki rumah di sini.

Saya yakin, kedudukan Ayer Hitam yang berada di tengah-tengah Johor mempunyai satu tarikan unik kerana ramai yang ingin menetap di sini. Sekiranya dipilih, saya akan berusaha untuk membina penempatan-penempatan baharu yang mampu milik untuk masyarakat Ayer Hitam.

Selain itu, isu-isu setempat yang telah dikenal pasti yang tidak diselesaikan oleh bekas ADUN semestinya menjadi keutamaan saya. Saya akan kupas satu persatu dan sehari ke sehari di sepanjang tempoh berkempen ini.

Apa yang saya mahukan ialah Ayer Hitam menjadi kawasan yang selesa untuk didiami, kawasan yang sejahtera untuk hidup bermasyarakat dan menjadi impian saya untuk melihat anak-anak Ayer Hitam terus menetap di sini bersama-sama membangunkan tanah bertuah ini.

Shazani

Apakah manifesto peribadi yang akan dibawa untuk penduduk di DUN yang bakal diwakili jika menang?

Tawaran saya sekiranya dipilih sebagai ADUN Semarang, saya akan memacu transformasi Ayer Hitam daripada segi ekonomi, sosial, dan pendidikan. Ayer Hitam perlu keluar daripada kesuraman sejak belasan tahun ini. Perancangan untuk membina penempatan-penempatan baharu mampu milik akan dilaksanakan.

Ayer Hitam memerlukan pusat rekreasi untuk anak muda. Ini juga merupakan satu projek yang sedang dalam proses pelaksanaan, dokumen-dokumen berkaitan telah dihantar kepada pihak berwajib di bawah kolaborasi pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) naungan saya. Perinciannya akan diberikan kemudian.

Selain itu, Ayer Hitam turut berpotensi dalam bidang pertanian. Meningkatkan hasil pertanian sebagai salah satu sumber ekonomi utama masyarakat juga merupakan tawaran saya. Memandangkan latar belakang pendidikan saya dalam bidang pertanian, jadi ia merupakan satu sektor yang sangat dekat dengan saya dan saya sangat memahami kaedah-kaedah yang sepatutnya dilakukan bagi menjadikan pertanian satu industri yang berkembang baik.

Kita kekurangan produk hiliran dalam bidang pertanian. Ia adalah satu cabang yang dapat menjana lebih peluang ekonomi dan dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Kita pun tahu bahawa ‘tagline’ pertanian adalah pertanian untuk perniagaan. Itu bidang yang akan kita ambil berat.

Apakah harapan Shazani kepada para pengundi?

Kepada pengundi di DUN Semarang, bukan sahaja yang berada di sini dan juga untuk rakyat Johor di mana sahaja anak-anak Johor ini berada pulanglah menunaikan tanggungjawab demi tanah bertuan ini. Undilah Perikatan Nasional.

Khususnya pengundi DUN Semarang, saya akan membawa anda semua ke satu era yang baharu dan berilah saya peluang. Undilah saya, Shazani, anak kelahiran Ayer Hitam, bersekolah dan membesar di sini. Saya tahu dan faham tentang keperluan serta kehendak masyarakat di Ayer hitam.

Ayer Hitam memerlukan satu wajah baharu yang lebih segar untuk membawa Ayer Hitam keluar daripada kesuraman sejak belasan tahun. Saya mohon undilah saya. Orang Ayer Hitam sendiri panggil saya Nani, anak Tok Hamid, bekas Ketua Kampung. Calon nombor tiga daripada parti Perikatan Nasional, demi bangsa Johor.

PROFILE

Nama: Shazani A Hamid

Umur: 30 tahun

Lahir: Ayer Hitam

Pendidikan: Diploma Agrikultur, Universiti Putra Malaysia (UPM), Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Penglibatan dalam politik:

Ketua Srikandi Cawangan Ayer Hitam Timur (2019)

Pengerusi Biro Srikandi Muda Negeri Johor (2021)

REAKSI

Cikgu Amin

Saya ingin melihat agar Ayer Hitam ini dapat dibangunkan. Saya harap ada satu tempat seperti universiti yang boleh dibangunkan di Ayer Hitam. Kita sudah nampak Institut Pertanian Ayer Hitam (IPAH) sekarang ini di sana mempunyai program sijil. Apa salahnya jika ia dinaik taraf kepada universiti." - Guru, Cikgu Amin, 47

Naim

Saya menyeru kepada calon yang memenangi DUN Semarang ini tidak mengamalkan kroni dalam sebarang projek. Tender juga seharusnya dibuat secara terbuka. Amalkan sikap sama rata. Apabila sudah memegang jawatan, ADUN yang dipilih seharusnya bekerja untuk rakyat dan sentiasa mesra."- Pesara tentera, Naim, 50

Fazilah

Kerajaan perlu memastikan agar pemberian bantuan melibatkan rakyat tidak harus ada pilih kasih. Jika mahu memberi bantuan kepada rakyat, ia seharusnya diberi secara sama rata. Jangan orang ini tidak dapat. Sedangkan sama-sama susah. Biar ia sama rata, barulah adil." - Suri rumah, Fazilah Awang, 57