Kerajaan lulus MRT 3, tambah baik LPB, projek tebatan banjir

Iklan
Ismail Sabri. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan bersetuju melaksanakan projek Mass Rapid Transit Tiga (MRT 3) dan menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah-Sarawak serta projek tebatan banjir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi projek tersebut, keutamaan diberikan kepada kontraktor tempatan terutama bumiputera bagi menjana peluang perniagaan dan pekerjaan untuk Keluarga Malaysia.

Iklan
Iklan

Menurut Ismail Sabri, ia akan memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi, khususnya objektif kerajaan untuk terus memperkasakan sektor perniagaan, serta mencipta 600,000 pekerjaan pada tahun ini.

"Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meluluskan pelaksanaan projek MRT 3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang, dengan menyediakan perkhidmatan yang bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia.

Iklan

"Berhubung Lebuh Raya Pan Borneo (LPB), fasa pertama LPB Sabah sedang giat dilaksanakan dan melibatkan 15 pakej di mana kemajuan kerja setakat ini telah mencapai 52 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Oktober 2024.

"Bagi menambah baik lingkaran jalan untuk Keluarga Malaysia di Sabah, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan 19 pakej kerja tambahan yang akan melibatkan jajaran sepanjang 367 kilometer (km) dengan tempoh pembinaan selama lima tahun,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Iklan

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memaklumkan, fasa pertama LPB Sarawak pula akan melibatkan jajaran 786 km dan telah mencapai 78 peratus kemajuan kerja setakat ini.

Menurutnya, bagi melengkapi LPB Sarawak, kerajaan turut bersetuju melaksanakan projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh raya Trans Borneo (LTB).

Berhubung dengan projek tebatan banjir pula beliau berkata, kerajaan menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM1 bilion setahun di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

"Mengambil kira fenomena banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 yang serius sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda, jemaah menteri telah memutuskan untuk meningkatkan dan menyegerakan projek tebatan banjir dengan tambahan perbelanjaan sebanyak RM15 bilion untuk tempoh tahun 2023 sehingga 2030.

"Pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merangkumi pembinaan rel bersepadu dan lebuh raya serta projek tebatan banjir akan memangkin pembangunan ekonomi seterusnya menyumbang kepada daya saing negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ismail Sabri berkata, keputusan melaksanakan projek-projek tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan bagi menyediakan pelbagai peluang kepada Keluarga Malaysia dan mengukuhkan momentum pemulihan ekonomi negara.