Ada sebab FAM tak hantar skuad wanita ke Hanoi

Iklan
Skuad wanita negara tidak akan beraksi pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Mei depan. - Foto FB FAM

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menghantar skuad wanita beraksi ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada Mei depan selepas mengambil kira kekuatan lawan selain pencapaian skuad Harimauwati Malaya dalam dua temasya terdahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira hakikat bahawa skuad wanita negara belum menampakkan potensi untuk mencabar di pentas serantau ketika ini.

Iklan
Iklan

Mengikut kelaziman Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang membahagikan kontinjen ke Sukan SEA berdasarkan kategori A dan B berasaskan potensi memenangi pingat, Suraya berkata, FAM berpendapat bahawa peluang memenangi pingat amat tipis berpandukan prestasi semasa.

"Maklumat yang kami dapati ialah skuad pilihan seperti Thailand, Vietnam dan Myanmar serta Filipina memiliki kelebihan yang sukar untuk pasukan negara saingi ketika ini.

Iklan

"Selepas mengambil kira keputusan pasukan negara di edisi 2017 dan 2019 serta berdasarkan prestasi semasa, kami memutuskan tidak bertanding pada edisi Sukan SEA kali ini,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Untuk rekod, skuad kendalian Jacob Joseph tewas kepada Myanmar dan Filipina dalam laluan menduduki tangga terakhir Kumpulan A pada Sukan SEA 2019 di Filipina.

Iklan

Di depan penyokong sendiri pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, anak-anak buah Jacob tewas empat perlawanan - masing-masing – 1-2 kepada Filipina, 0-5 di tangan Myanmar serta dibelasah 0-6 oleh Thailand dan Vietnam.

Suraya menegaskan, keputusan tidak menghantar pasukan ke Sukan SEA Vietnam dibuat sebelum temasya dwitahunan itu yang sepatutnya dianjurkan pada November-Disember 2021, ditangguhkan kepada Mei 2022 disebabkan penularan Covid-19.

Keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira prestasi Harimauwati Malaya ketika Kelayakan Piala Asia di Palestin pada September 2021, iaitu satu-satunya kejohanan kompetitif skuad wanita negara dalam tempoh dua tahun.

Dalam pusingan kelayakan itu, skuad kendalian Jacob tewas 0-4 di tangan Thailand sebelum melakar kemenangan 2-0 ke atas Palestin.

Menurut Suraya, meskipun Harimauwati Malaya boleh menampilkan skuad yang diperkuatkan Steffi Sarge Sergeant Singh, Nurul Azurin Mazlan, Andrea Lee dan Henrietta Justine, FAM bimbang usaha membangunkan skuad negara secara keseluruhan terencat andai mereka menjadi pasukan belasahan di Vietnam.

Ditanya mengenai penyertaan di Palestin tahun lalu, Suraya berkata, setiap ahli gabungan atau negara anggota Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dikehendaki menyertai pertandingan peringkat umur serantau dan benua bagi memenuhi syarat-syarat sebagai ahli gabungan.

"FAM komited menyertai semua kejohanan anjuran AFC dan naungan AFF kerana setiap negara anggota dimestikan berbuat demikian. Namun, untuk temasya sukan seperti Sukan SEA dan Sukan Asia yang dinaungi MOM, kami diberi pilihan untuk mengkaji semua opsyen yang ada,” ujarnya.

Suraya juga menjelaskan bahawa FAM sedang merancang strategi memperkasakan saingan Piala Tun Sharifah Rodziah untuk menjenamakannya sebagai sebuah liga untuk wanita mengikut zon sebagai usaha meletakkan asas yang betul dari segi struktur pertandingan tempatan.

"Perancangan ini semua terangkum dalam Pelan Pembangunan Strategik Bolasepak Wanita yang sepatutnya dilancarkan tahun lalu tetapi ditunda atas sebab perintah kawalan pergerakan (PKP) sebanyak dua kali. Namun elemen yang ada dalam pelan strategik itu dilaksanakan di balik tabir,” katanya.

Sambil memuji langkah Selangor yang memperkenalkan Women’s Super League (WSL), beliau turut mengingatkan bahawa setiap ahli gabungan FAM dan juga pemegang taruh MFL wajar membudayakan bola sepak wanita di peringkat akar umbi bagi meluaskan kelompok pemain di peringkat paling asas.

"Penting ketika ini ialah FAM cuba memperkasakan saingan liga tempatan sebagai usaha mengenal pasti bakat yang boleh diketengahkan ke pentas Sukan SEA dan seterusnya Asia.

"Lebih banyak negeri dan kelab yang aktif menghidupkan bola sepak wanita di peringkat akar umbi, daerah dan negeri, lebih mudah untuk FAM mengetengahkan bakat untuk diasah di peringkat antarabangsa,” katanya.