SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk membuat beberapa ujian tambahan terhadap sampel tisu dalaman mayat remaja yang didakwa meninggal dunia selepas divaksin pada 16 Januari lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, hasil ujian itu berkemungkinan perlu dihantar ke luar negara untuk pengujian selanjutnya.
Menurutnya, hasil dapatan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang dijalankan setakat ini, termasuk pemeriksaan histologi akan dibentang dan dibincangkan pakar forensik dalam satu sesi peer-review pada 7 Mac 2022 untuk pengesahan.
"Laporan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang dijalankan seterusnya akan turut diserahkan kepada ibu bapa mendiang selepas selesai sesi peer-review tersebut.
"Kesemua perkara ini telah dimaklumkan kepada kedua ibu bapa mendiang dan mereka memahami penerangan yang diberikan serta bersetuju dengan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengenal pasti punca kematian mendiang.
"Saya sendiri telah menyatakan komitmen untuk pastikan perkara ini disusuli dengan segera,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa mendiang bagi memberikan penerangan berhubung perkembangan terkini siasatan, perancangan dan komitmen KKM untuk mengenal pasti punca kematian mendiang.
Perjumpaan selama 30 minit di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu turut disertai Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pakar Forensik Hospital Serdang, Dr Emizam Mohamadon.
Khairy Jamaluddin dalam masa sama turut menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang atas pemergian beliau.
Katanya, perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan pihaknya memohon masyarakat untuk menghormati privasi serta perasaan keluarga mendiang.
"Pada masa sama, saya juga memohon agar masyarakat tidak menyebarkan maklumat palsu mengenai kes kematian ini,” ujarnya.
Sebelum ini, tular satu video memaparkan ibu bapa remaja berkenaan merayu agar orang ramai mempertimbangkan hasrat untuk vaksinasi anak mereka.
Ibu bapa mendiang turut menggesa pihak bertanggungjawab untuk menjelaskan kematian mangsa yang berlaku beberapa minggu selepas mengambil suntikan pertama vaksin Covid-19.