ALOR SETAR - Mengehadkan jumlah kehadiran ceramah kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak melebihi 100 orang disifatkan sebagai tidak praktikal selain menyukarkan penganjur untuk mengawal kehadiran.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, peraturan tersebut seolah menafikan hak calon bertanding untuk berkempen dalam tempoh pandemik Covid-19 yang agak terbatas.
Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharapkan dapat memberi kelonggaran berhubung peraturan tersebut memandangkan tempoh kempen hanya tinggal seminggu lagi.
"Mohon SPR kaji semula peraturan yang mengehadkan kehadiran penyokong dalam ceramah PRN Johor, sekiranya hanya benar 100 orang hadir, bagaimana nak kawal jika kehadiran orang ramai melebihi jumlah itu, tak kan pula terpaksa halau mereka pulang. Ia agak menyusahkan ramai pihak,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Khairul Anuar yang juga Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah berkata, sewajarnya calon diberikan kebebasan untuk berkempen selagi tidak melanggari peraturan SPR mahupun Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Hanya 100 orang boleh hadir dengar ceramah, ini tidak masuk akal. Sepatutnya yang perlu dititik beratkan adalah pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kenapa perlu had kehadiran. Memadai dengan mematuhi syarat penuhi ruang berdasarkan keluasan dan kapasiti tempat ceramah,” katanya.
Pada Rabu, SPR dalam kenyataannya memaklumkan ceramah, syarahan dan kempen pada PRN Johor boleh diadakan hingga jam 12 tengah malam. Selain melanjutkan waktu berkempen, SPR turut membenarkan penganjuran kempen secara fizikal di dalam atau pekarangan pejabat dan bilik gerakan parti.
Namun jumlah kehadiran termasuk penganjur, penceramah dan peserta yang hadir pada kempen berkenaan haruslah tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang selain tidak boleh diadakan di premis terbuka atau di tempat awam.
Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata, sebelum ini waktu berkempen diberikan kelonggaran dari 10 malam hingga 12 tengah malam dan tiada salahnya sekiranya jumlah kehadiran turut diberikan kelonggaran.
"Ketika saya hadir jelajah penerangan kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin sebelum ini, saya ada buat teguran berkaitan perkara ini.
"Dalam ceramah itu, saya desak agar SPR kaji semula peraturan berkaitan tempoh waktu berkempen untuk calon yang hanya benarkan berkempen hingga 10 malam sebab ia tidak praktikal. Adakah Covid-19 aktif mengikut masa untuk merebak sehingga perlu had masa sebab ia tiada kaitan,” katanya lagi.
Menurutnya, keluhan itu telah mendapat perhatian dan pihaknya berterima kasih atas keprihatinan SPR selepas melanjutkan tempoh hingga jam 12 tengah malam.
"Pindaan SPR tersebut secara tidak langsung membuka ruang kepada gelanggang demokrasi yang lebih adil kepada semua parti terlibat yang bertanding pada PRN Johor.
"Diharap SPR sekali lagi mengkaji semula peraturan berkaitan jumlah kehadiran yang dibenarkan,” katanya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my