Adakan sesi libat urus sebelum bawa pindaan Akta 342 ke Parlimen

Iklan
Abdul Halim

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran mengadakan sesi libat urus dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan aktivis rakyat sebelum pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dibawa ke Parlimen.

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin berkata, pindaan yang dibuat mestilah menepati hasrat dan kehendak pakar kesihatan tanpa menafikan kepentingan serta hak rakyat yang termaktub dalam Perlembagaan.

Iklan
Iklan

"Oleh itu kita mohon KKM menangguhkan dahulu pindaan Akta 342, dan hendaklah diperhalusi semula apa yang perlu dipinda setelah sesi libat urus yang lebih terperinci dilakukan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abdul Halim turut menyifatkan, pindaan Akta 342 itu sebagai keterlaluan dan perlu diperhalusi semula atas beberapa faktor.

Iklan

Menurutnya, ini termasuk kuasa Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjadi terlalu besar dan membuka ruang penyalahgunaan kuasa pada masa hadapan.

"Memaksa pengasingan dibuat berdasarkan syak tanpa bukti yang jelas dan masa yang ditetapkan adalah sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang telah dimansuhkan.

Iklan

"Denda sebanyak RM100,000.00 untuk individu dan RM2 juta bagi organisasi juga agak melampau.

"Covid-19 akan kekal dan kita perlu berfikir, bergerak, bekerja dan berniaga dengan pemahaman keadaan yang mengurangkan kebebasan ini tidak akan berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata, negara luar sudah mula mengurangkan atau membatalkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

"Langkah seperti ini akan memberi motivasi dan mesej kepada semua rakyat khususnya komuniti ekonomi bumiputera untuk terus fokus memajukan diri dan keluarga sepanjang era pasca pandemik,” kata beliau.