JAKARTA - Menteri Luar ASEAN menggesa gencatan senjata segera atau perjanjian pelucutan senjata dan pelanjutan dialog politik yang akan membawa kepada keamanan yang mampan di Ukraine.
Gesaan itu dibuat selepas Sidang Khas Kecemasan Ke-11 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai resolusi 'Keganasan Terhadap Ukraine'.
Resolusi itu menuntut bahawa"Persekutuan Rusia segera menghentikan kekerasan terhadap Ukraine dan menghindari sebarang ancaman atau penggunaan kekerasan yang melanggar undang-undang terhadap mana-mana negara anggota PBB."
Dalam satu kenyataan pada Khamis, menteri-menteri luar menekankan kepentingan gencatan senjata bagi membolehkan rundingan untuk menangani krisis semasa dan mengelak penderitaan terhadap orang awam yang meluas.
"Menteri Luar ASEAN amat bimbang dengan keadaan yang semakin tegang dan keadaan kemanusiaan yang semakin buruk akibat tindakan ketenteraan yang berterusan di Ukraine," menurut satu kenyataan yang disiarkan di laman web ASEAN.
Menteri-menteri Luar itu juga mengulangi keyakinan mereka bahawa masih ada ruang dialog damai bagi mengelakkan keadaan tidak terkawal dan menghentikan peningkatan jumlah kerugian dan korban awam dan tentera, serta kesan negatif yang dirasai di seluruh dunia.
"ASEAN bersedia untuk memudahkan, dalam apa cara sekalipun, dialog damai antara pihak yang berkenaan,” kata kenyataan itu. - Bernama