SJKP bantu rakyat tiada kerja tetap, slip gaji buat pinjaman rumah

Iklan
Ismail Sabri (empat dari kiri) dalam Majlis Pelancaran Skim Pinjaman Perumahan Inovatif PR1MA pada Jumaat.

JOHOR BAHRU - Skim Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) membantu rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan slip gaji untuk membuat pinjaman perumahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif tersebut membolehkan lebih ramai Keluarga Malaysia memiliki rumah sendiri, termasuk mereka yang menghadapi masalah mendapatkan kelulusan pembiayaan.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, usaha daripada syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu membuktikan komitmen kerajaan yang ingin melihat Keluarga Malaysia mendapat akses kepada pembiayaan perumahan seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dengan lebih mudah dan luas.

"Usaha ini selari pengumuman dalam Belanjawan 2022 di mana sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan kepada SJKP bagi melaksanakan amanat ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pelancaran Skim Pinjaman Perumahan Inovatif PR1MA di Residensi Larkin Indah pada Jumaat.

Turut hadir adalah Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib.

Iklan

Beliau berkata, kerajaan akan terus menyokong usaha PR1MA dalam menjalankan mandat mereka dan membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri yang membolehkan penghuninya menikmati kehidupan yang mampan.

Menurutnya, pihak PR1MA telah membuat pendekatan pemilikan rumah secara holistik iaitu daripada membina rumah sehinggalah mencari solusi dalam mencari pembiayaan yang bersesuaian buat pada pembeli.

"Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada PR1MA kerana telah berusaha untuk menyahut seruan Kerajaan dalam membina lebih banyak rumah mampu milik di bawah RMK-12 serta mencari penyelesaian dalam masalah pembiayaan perumahan yang membelenggu Keluarga Malaysia, terutamanya anak muda masa kini.

"Harapan kerajaan ialah untuk memastikan aspirasi '1 Keluarga 1 Rumah' dapat direalisasikan dan semoga PR1MA dapat memainkan peranan dalam membantu kerajaan untuk mencapai wawasan ini," ujarnya.