Banjir: Kanvas hanyut disyaki punca lori APM terbalik

Iklan
Lori APM terbalik berhampiran Sungai Kampung Lebak, Ahad lepas.

HULU TERENGGANU - Sehelai kanvas yang hanyut di bawa arus banjir dan melekat pada lori Angkatan Pertahanan Awam (APM) dipercayai menyebabkan kenderaan dipandu anggota APM Kpl (PA), Mat Hasdi Mat Yusof itu terbalik berhampiran Sungai Kampung Lebak, Ahad lepas.

Mat Hasdi, 39, berkata, dalam kejadian pada jam 2.15 petang itu, beliau bersama 13 anggota APM dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim sedang melalui Jalan Sekayu dan paras air ketika itu boleh dilalui oleh lori yang membawa muatan bantuan makanan tersebut.

Iklan
Iklan

"Tiba-tiba saya berasa seperti ada hentaman sebanyak dua kali dari arah kiri lori yang mengakibatkan lori ke kanan dan terkeluar sedikit daripada jalan raya lalu terbalik.

"Selepas selesai proses menyelamat semua anggota dan ADUN Ajil (Maliaman) serta banjir surut, saya kembali ke lori dan melihat ada kanvas yang melekat di bawah lori,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Mengulas lanjut, Mat Hasdi berkata, beliau amat yakin bahawa hentaman yang kuat ke arah kenderaannya itu adalah kanvas berkenaan yang hanyut di bawa arus deras sehingga mengganggu pemanduannya.

"Saya bersyukur semuanya selamat dan saya juga telah mengambil semua langkah yang tepat apabila berlaku kecemasan seperti itu,” katanya.

Iklan

Sementara itu, pemandu bot APM Hulu Terengganu Lt (PA), Zakli Ahmad menasihati semua mangsa banjir yang diselamatkan supaya mendengar arahan pegawai bertugas bagi mengelak insiden bot terbalik.

Pada Sabtu lepas, bot yang dikendalikan Zakli terbalik semasa membawa mangsa banjir menuju ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuroh di sini kerana keengganan segelintir mangsa untuk mendengar arahan.

"Ada seorang wanita menggunakan payung semasa duduk di dalam bot sekali gus mengganggu penglihatan saya untuk mengendalikan bot. Mereka juga tidak mengendahkan susunan kedudukan di dalam bot yang menyebabkan bot tidak seimbang hingga kami terbalik,” katanya.

Dalam insiden sekitar jam 11 pagi itu, kesemua lima mangsa tidak mengalami kecederaan dan berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke PPS terbabit. - Bernama