KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menggesa pusat zakat dan baitulmal bergerak lebih efektif bagi menyelesaikan isu mahasiswa universiti awam yang terpaksa mengikat perut akibat kesempitan wang.
Menurutnya, pusat zakat dan baitulmal wajar memainkan peranan aktif kerana institusi-institusi itu bertanggungjawab dalam usaha membasmi kemiskinan.
"Apabila sebut mengenai kemiskinan, ia lebih dekat dengan zakat dan baitulmal. Mungkin kita boleh panggil baitulmal berperanan lebih aktif di universiti awam kerana jika sebut miskin, sinonimnya adalah zakat. Kita minta pusat zakat sama berfungsi seperti dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak terbabit (memberi makanan percuma) kerana saya yakin, zakat antara penyelesaian membantu membasmi kemiskinan.
"Kita berterima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan berterusan kepada mahasiswa dan kita galakkan zakat dan baitulmal juga turut menyumbang dalam isu ini,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menambah, kedua-dua institusi tersebut wajar melaksanakan inisiatif dilaksanakan pihak universiti, NGO dan persatuan mahasiswa yang menyediakan makanan percuma kepada pelajar miskin.
Maszlee berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan beberapa pihak supaya kerajaan mengembalikan inisiatif pemberian makanan percuma, khusus kepada mahasiswa miskin di universiti awam bagi menyelesaikan isu pelajar terpaksa mengikat perut.
Dilaporkan,Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyediakan makanan percuma untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan asnaf miskin sepanjang minggu peperiksaan bermula 27 Mei ini.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal, berkata ini bagi memastikan penuntut universiti itu mendapat makanan mencukupi sepanjang tempoh ulang kaji dan peperiksaan.
Katanya, inisiatif terbabit akan dimulakan pada semester ini membabitkan 550 penuntut dengan masing-masing diberikan kupon makanan bernilai RM5 setiap seorang sehari.