SABAH FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan FC pada aksi pembukaan Liga Super di Stadium Likas sebentar tadi.
Khair Jones muncul wira Negeri Sembilan apabila meledak gol pada minit ke-51 selepas menerima hantaran rakan susulan sepakan percuma di depan gawang tuan rumah.
Sebelum itu, pemain import Sabah FC, Neto Pesoa berjaya menjaringkan gol selepas tendangannya gagal ditepis penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-24.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan membatalkan jaringan tersebut atas kesalahan ofsaid.
Pesoa sekali lagi berpeluang menjaringkan gol pada minit terakhir babak pertama melalui sepakan penalti yang menimbulkan kontroversi selepas mendapat bantahan barisan pemain Negeri Sembilan.
Namun, Negeri Sembilan kembali menarik nafas lega apabila Ahmad Syihan berjaya menepis sepakan penalti Pesao.
Pada babak kedua, Negeri Sembilan bermula garang sebelum Khair menyumbat gol, sekali gus memberikan tekanan kepada tuan rumah.
Tersentak dengan gol itu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memasukkan penyerang senior, Amri Yahyah bagi menggantikan pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu.
Meskipun beberapa percubaan dilakukan Sabah FC, namun tiada yang berjaya disudahkan dengan sempurna untuk menghasilkan sekurang-kurangnya gol penyamaan sehingga tamat perlawanan.