KL City, Selangor FC kongsi satu mata

Iklan
Hadin (dua dari kiri) meraikan jaringannya ketika berdepan Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi. -Foto Bernama

SEPERTI diramal, aksi sulung Liga Super menemukan dua gergasi Lembah Klang - Kuala Lumpur (KL) City FC dan Selangor FC berlangsung sengit dengan keputusan terikat 3-3 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Sepak mula pertembungan itu terpaksa dilangsungkan pada jam 9.40 malam susulan hujan lebat yang melanda ibu negara.

Iklan
Iklan

Sebaik wisel permulaan dibunyikan, kedua-dua pasukan bermula dengan baik apabila melancarkan serangan bertali-arus ke kubu lawan masing-masing untuk memperoleh jaringan awal.

Bagaimanapun, kekebalan benteng pertahanan KL City mahupun Selangor FC untuk menghalang segala percubaan menyebabkan perlawanan berlangsung seimbang.

Iklan

Selangor terlebih dahulu berada di depan selepas bola tandukan Hyuri Henrique ditampan pertahanan KL City, Irfan Zakaria sebelum menerjah gawang pada minit ke-18.

Seminit kemudian, KL City berjaya menyamakan kedudukan selepas rembatan jarak jauh pemain tengah, Zhafri Yahya berjaya menewaskan penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid.

Iklan

Bagaimanapun, Gergasi Merah kembali berada di depan pada minit ke-27 hasil sepakan penalti Herlison Caion selepas dia dijatuhkan Kenny Pallraj.

Hadin Azman kembali menyamakan kedudukan buat tuan rumah apabila menanduk masuk bola hantaran kapten, Paulo Josue pada minit ke-32.

Perlawanan terus rancak dengan giliran skuad The City Boys pula berada di depan hanya lima minit selepas bersambung aksi babak kedua hasil jaringan Ryan Lambert.

KL City apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Giancarlo Gallifuoco dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari Safuwan Baharudin pada minit ke-73.

Kekurangan seorang pemain nyata dimanfaatkan Selangor FC sebelum memperoleh gol penyamaan menerusi sepakan penalti Caion pada minit ke-78.

Kedua-dua pasukan cuba mengatur gerakan bagi menambah jaringan pada 10 minit terakhir perlawanan, namun gagal merobek gawang lawan masing-masing sehingga wisel penamat dibunyikan.