‘Mereka perlu ditentang bukan ditatang’

Iklan

KEDUDUKAN Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI 2021) jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020, manakala skor Malaysia turun kepada 48 berbanding 51 pada 2020.

Tidak keterlaluan untuk menyatakan rasuah di Malaysia sudah dari tahap endemik masuk ke tahap pandemik. Jika dulu rasuah diurus di bawah meja, hari ini rasuah diatur atas meja.

Iklan
Iklan

Hasil kajian Voices From The Ground: The Corruption Complex In Malaysia yang dijalankan oleh Universiti Malaya (UM) menyatakan, salah satu punca berlakunya rasuah di negara ini ialah kerana sistem kleptokrasi yang diuruskan oleh golongan kleptokrat.

Rasuah telah menjadi sebahagian daripada budaya dan politik dilihat sebagai jalan menuju kekayaan serta rasuah sebagai jalan untuk berjaya.

Iklan

Profesor Dr Syed Farid Alatas semasa menjadi panelis dalam program Siri Wacana Rasuah Dan Gerakan Sosial anjuran Sinar Harian menyatakan bahawa"Kleptokrat adalah orang yang harus ditolak dan perlu dihina. Jauhkan diri daripada mereka. Masyarakat Malaysia kena tolak ahli politik yang ambil rasuah, jangan mengundi mereka”.

Malahan, Nicollo Machiavelli dan Jean-Jacques Rousseau dalam penulisan mereka merumuskan kerosakan rasuah berlaku apabila rakyat sudah tidak mengambil kisah, memberikan kesetiaan membuta tuli kepada pemimpin kerana terlalu bergantung kepada pemimpin dan akibatnya masyarakat menjadi masyarakat yang rasuah, sehingga tidak berupaya mengawal pemimpin daripada melakukan rasuah.

Iklan

Inilah yang sedang berlaku di Malaysia. Di sebalik mencanang betapa pentingnya kestabilan negara, politikus-politikus yang terpalit dengan noda rasuah, tidak kira yang sedang disiasat, yang didakwa mahupun yang telah didapati bersalah, semua masih berada di persada politik.

Lebih menggerunkan, ramai di antara mereka mengatur pelbagai strategi untuk kepentingan peribadi.

Lihat sahajalah betapa mudah mereka mampu merangkul sokongan rakyat dan juga menjinakkan politikus parti sendiri, semua untuk menjayakan matlamat besar mereka.

Yang jelas, di sebalik menguar-uarkan kestabilan negara, negara sebenarnya sedang masuk ke dalam lingkaran politikus korup dan kleptokrat. Negara di ambang kehancuran.

Kita dapat saksikan hari ini, syarikat-syarikat gergasi multinasional seperti Google, Amazon, Microsoft dan Tesla serta negara seperti UAE membuat pelaburan di Indonesia bukanlah hanya kerana kestabilan politik mereka tetapi kerana telah melihat iltizam pemerintah melawan rasuah dan memastikan politikus-politikus yang terpalit dengan rasuah tidak berada atau mendapat tempat di persada politik negara.

Malahan, rakyat di Indonesia memandang hina dan menolak golongan ini. Betapa berbezanya situasi di Malaysia.

Oleh itu, tindakan menolak politikus korup, kleptokrat terpalit rasuah perlu diserap dan menjadi satu budaya di Malaysia. Mereka perlu dianggap jijik serta hina.

Dalam erti kata lain, mereka perlu ditentang dan bukannya ditatang. Kita tidak wajar menghalalkan kebejatan mereka yang hanya akan menghancurkan masa depan kita dan negara.

Jangan kelak anak dan cucu kita meratib nasib malang yang menimpa mereka hanya kerana kita bersubahat membantu perasuah mentadbir serta memerintah negara.

Dan pilihan rayalah, medan untuk rakyat menolak mereka.

*Norman Fernandez adalah seorang peguam dan penulisan ini adalah pandangan peribadi beliau