Sheikh Omar anak emas Paloh

Iklan
Masa berkempen digunakan sepenuhnya untuk mendekati penduduk setempat.

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah memasuki hari kelima dan bahangnya semakin terasa oleh semua, termasuk calon daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh yang menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Calon Pakatan Harapan (PH), Sheikh Omar Ali bertanding buat kali kedua setelah tiga tahun berkhidmat sebagai ADUN Paloh.

Iklan
Iklan

Ikuti temubual Sinar Harian, Muhammad Yusainy Mohamad Yunus bersama Sheikh Omar mengenai strategi kempen dan perubahan yang akan dibawa oleh beliau.

SINAR HARIAN: Dicalonkan untuk bertanding mewakili DUN Paloh apakah yang boleh anda katakan?

Iklan

Secara peribadi, saya amat terharu dipilih kali kedua untuk mewakili DUN Paloh yang begitu dekat dihati saya. Amanah berat ini saya akan pikul dengan membawa harapan besar seluruh rakyat untuk bersama memajukan sahsiah dan infrastruktur di Paloh.

Sheikh Omar

Iklan
SINAR HARIAN: Bagaimana dengan persediaan dari segi mental dan fizikal untuk mendepani pesaing?

Sebenarnya kita memang menjangkakan akan berlaku pertembungan lebih dari satu penjuru di DUN ini, dan melihat PH ada kelebihan dari segi penjenamaan berbanding BN kerana PN yang selama ini membentuk muafakat, sementara Pejuang pula baru saja muncul. Ditambah pula setelah tiga tahun berkhidmat, saya yakin setiap sentuhan, usaha, komitmen yang saya berikan selama ini akan memberi nilai tambah untuk memenangkan kerusi N.30 DUN Paloh kepada PH. Saya bukan orang baru di Paloh.

SINAR HARIAN: Apakah bentuk kempen yang bakal dilakukan dalam usaha menarik perhatian para pengundi?

Petugas-petugas yang terdiri dari warga tempatan Paloh memberi kelebihan besar kepada kempen kami. Setiap program ziarah berjalan dengan baik dan saya disambut mesra oleh orang ramai yang selama ini memang rapat dengan saya. Ini berbeza dengan kempen pilihanraya lepas yang mana kita tidak rasa boleh masuk ke kawasan Felda namun sekarang bahan-bahan kempen dan bendera sudah boleh masuk ke kawasan yang sebelum ini dianggap kubu kuat BN. Ini bukti perkhidmatan dan usaha kita selama ini diiktiraf rakyat.

Selain itu, pengundi DUN Paloh untuk PRN kali ini meningkat lebih kurang 5,000 hasil daripada pendaftaran automatik menjadikan jumlah keseluruhannya lebih 26,000. Sekurang-kurangnya 40 peratus pengundi berusia 40 atau 30 tahun ke bawah tetapi kebanyakan orang muda berada di luar kawasan. Ini merupakan cabaran untuk kami pujuk mereka pulang dan mengundi.

Sheikh Omar berkesempatan menyapa pengundi ketika berkunjung di kedai-kedai makan.

Selain mengadakan kempen secara fizikal dari rumah ke rumah untuk menyantuni warga emas kami juga menggunakan media sosial seluasnya bagi penyebaran maklumat dan fakta sesuai dengan kehendak pengundi muda agar mereka terus menyokong PH berdasarkan prestasi kami yang teruji. Saya juga yakinkan mereka yang kami akan cuba sebaiknya untuk membantu warga emas di Paloh sepanjang ketiadaan mereka yang keluar mencari rezeki di luar. Malah itulah tekad dan khidmat saya sepanjang tiga tahun menjadi wakil rakyat sebelum ini.

SINAR HARIAN: Apakah masalah yang anda nampak ada di Dun ini dan boleh anda perbaiki?

Dalam tempoh tiga tahun saya menabur budi di Paloh, tidak sedikit program pembangunan dan kebajikan yang kita jalankan. Saya kira projek yang paling besar berjaya diusahakan ialah jalan Paloh - Bekuk bagi memudahkan rakyat untuk ke Segamat yang sebelum ini terpaksa merentasi daerah Batu Pahat iaitu melalui Yong Peng dari Kluang sehingga mengambil masa satu jam lebih. Melalui jalan baru ini, perjalanan hanya ambil masa paling lama 30 minit.

Usaha ini telah diluluskan dan dimasukkan ke dalam RMK-12 dan akan dilaksanakan pada suku kedua tahun 2022. Selain itu kampung-kampung yang berkedudukan di jajaran laluan kereta api turut dinaik taraf dari segi kemudahan prasarana dan agar membuka peluang-peluang ekonomi baharu. Kepelbagaian masyarakat di DUN Paloh membuatkan kawasan ini begitu istimewa dengan 47 peratus terdiri dari kaum Melayu, 37 peratus kaum Cina, 15 peratus kaum India dan satu peratus orang asli. Paloh tentunya perlukan seorang wakil yang boleh membawa untuk semua, tanpa mengira latar belakang bangsa atau agama.

Kebajikan dan kemudahan warga emas menjadi aspek utama manifesto peribadi Sheikh Omar.

SINAR HARIAN: Apakah manifesto peribadi yang akan dibawa untuk penduduk jika menang?

Saya berpendapat Paloh berpotensi untuk dibangunkan secara lestari dengan merancakkan ekonomi tempatan tanpa meninggalkan nilai tradisi yang menjadi identiti asal kita. Rakyat di sini seharusnya diberi pilihan untuk terus tinggal dan mengusahakan perniagaan tanpa perlu ke bandar besar. Ini menuntut kemudahan infrastruktur yang lebih moden dan lancar.

SINAR HARIAN: Apakah harapan anda kepada para pengundi?

Pilihan raya kali ini sebenarnya bukan keperluan mendesak sebaliknya percaturan politik mereka yang dahagakan kuasa. Namun jika kita gagal mengambil peluang ini dengan memilih pemimpin yang betul, bangsa Johor akan menghadapi masalah besar lima tahun mendatang.

Saya dengan rendah diri memohon semua rakyat Paloh untuk membantu kami menyampaikan mesej dan fakta agar Pakatan Harapan terus dipilih dan berbakti kepada rakyat. Saya faham kita sekarang dihimpit Covid-19, namun pilihanraya ini terlalu penting agar nasib kita dimasa hadapan terus dibela. 12 Mac ini keluarlah mengundi, pujuklah anak-anak yang keluar untuk balik mengundi. Masa depan Paloh dan bangsa Johor ditangan anda sendiri. Saya Syeikh Omar, calon Pakatan Harapan bagi DUN Paloh menawarkan diri sekali lagi agar dapat terus berkhidmat untuk anda.