Minat bidang pertanian dorong Nur Aifa pilih Kolej Pertanian
PUTRAJAYA - Minat yang mendalam terhadap bidang pertanian mendorong Nur Aifa Shaari untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma di Kolej Pertanian Malaysia meskipun pernah ditawarkan menyambung pelajaran di sebuah universiti awam terkenal.
Namun berbekalkan iltizam serta ‘kecintaan’ terhadap bidang tersebut membuatkan gadis berumur 26 tahun dari Pasir Puteh, Kelantan itu tekad untuk menimba ilmu pertanian di kolej berkenaan pada 2017.
"Saya bersyukur kerana tidak salah membuat pilihan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pertanian.
"Setelah tamat pengajian, saya mengusahakan projek pertanian melibatkan tanaman sayuran seperti kacang panjang, cil padi kampung dan bayam untuk dipasarkan sekitar daerah.
"Saya juga mengusahakan ternakan ikan keli dan ikan laga yang dipasarkan seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen berkenaan.
Menurut Nur Aifa, projek keusahawanan yang dilaksanakannya setelah tamat pengajian memberi pulangan lumayan apabila mampu menjana pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.
"Saya mampu membina kerjaya sendiri setelah tamat pengajian sekali gus berharap dapat memperluaskan lagi projek pertanian ini di masa akan datang.
"Perancangan saya selepas ini adalah meningkatkan hasil kualiti tanaman yang diusahakan supaya boleh dieksport ke luar negara satu hari nanti,” katanya.
REAKSI GRADUAN
"Selepas tamat pengajian saya dapati banyak peluang pekerjaan yang boleh saya cuba. Selain mencari peluang pekerjaan, saya juga boleh gunakan ilmu untuk buka ladang ternakan sendiri dan manfaatkan peluang mencipta pekerjaan.” - N. Harindraa Raa Natayanan, 24, Graduan Diploma Kemahiran Malaysia (Ternakan Ruminan)
"Saya berpuas hati dengan bidang pengajian yang diceburi kerana ia memenuhi kehendak dan minat. Sekarang saya bekerja di Jabatan Perikan di Perak dan saya manfaatkan peluang yang diberikan ini untuk meraih pengalaman.” - R. Duryanah Japri, 25, Graduan Sijil Kemahiran Malaysia (Akuakultur Marin)
"Banyak ilmu pemasaran yang saya pelajari sepanjang pengajian dan tentunya saya akan gunakan pengalaman ketika latihan industri untuk diadaptasikan ketika alam pekerjaan. Saya tidak risau kerana peluang pekerjaan sentiasa ada untuk graduan kolej pertanian.” - Muhammad Amirul Fikri Ismail, 22, Graduan Sijil Kemahiran Malaysia (Pemasaran)
INFO
Informasi Program Persijilan Latihan Pertanian
PERSIJILAN
- Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1.
- Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2.
- Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3.
- Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4.
TUJUAN
- Menggalakkan generasi muda melibatkan diri dalam bidang pertanian sebagai pekerja mahir dan pengusaha pertanian bertaraf komersial dan berskal besar melalui penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti sektor pertanian negara.
OBJEKTIF
- Menyediakan tenaga kerja mahir dalam sektor pertanian yang meliputi semua peringkat pekerjaan iaitu mahir, penyeliaan dan pengurusan.
- Melahirkan usahawan tani muda yang berdaya saing, moden dan kreatif bagi mencapai negara berpendapatan tinggi.
- Menjadi platform kepad pelatih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi
PELAKSANAAN
- Program yang dijalankan berteras Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) atau National Occupational Skills Standard (NOSS) yang menyampaikan latihan berasaskan kompetensi kemahiran dan memfokuskan kepada latihan amali, projek serta stimulasi.
- Persijilan ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.
SYARAT PERMOHONAN
- Warganegara Malaysia.
- Berumur 18 hingga 25 tahun pada tarikh pendaftaran.
- Boleh membaca, menulis dan mengira.
- Sihat tubuh badan dan boleh melakukan aktiviti amali di lapangan.
PEMBIAYAAN LATIHAN
- Yuran pengajian percuma.
- Elaun RM200 hingga RM300 sebulan.
- Penginapan disediakan.
- Makan dan minum disediakan.
CARA PERMOHONAN
- Permohonan dibuka sepanjang tahun bagi Sesi Mac dan September.
- Permohonan secara atas talian di www. mafi.gov.my/blkp
TEMPOH LATIHAN
Kurikulum Lama
- Tahap 1 (Sijil) - 6 bulan.
- Tahap 2 (Sijil) - 6 bulan.
- Tahap 3 (Sijil) - 12 bulan + 3 bulan Latihan Industri.
- Tahap 4 (Diploma) - 12 bulan + 6 bulan Latihan Industri.
Kurikulum Baharu
1. Tahap 2 (Sijil) - 12 bulan.
- Tahap 3 (Sijil) - 24 bulan (termasuk 3 bulan Latihan Industri).
- Tahap 4 (Diploma) - 18 bulan (termasuk 6 bulan Latihan Industri).
BIDANG DITAWARKAN
- Teknologi Perikanan Tangkapan.
- Pengeluaran Padi.
- Tanaman.
- Pemasaran.
- Pengeluaran Makanan (Pemprosesan).
- Ternakan (Ruminan).
- Ternakan (Poltri).
- Akuakultur Marin.
- Akuakultur Ternakan Air Tawar.