Malaysia sokong resolusi pertahan hak asasi manusia di Ukraine

Iklan
Debat Khas MHAM berlangsung selama dua hari pada Khamis dan Jumaat.

PUTRAJAYA - Malaysia menjadi salah sebuah daripada 32 negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) meluluskan resolusi 'Situasi hak asasi manusia di Ukraine yang berpunca daripada keganasan Rusia selepas sesi Debat Khas selama dua hari yang berakhir pada Jumaat.

Kementerian Luar Negeri menerusi kenyataan pada Sabtu berkata, resolusi tersebut telah diluluskan apabila seramai 32 anggota MHAM sesi ke-49 menyokong, manakala dua menentang dan 13 lagi mengambil pendirian berkecuali.

Iklan
Iklan

"Semasa proses undian, Malaysia telah menyokong resolusi tersebut berdasarkan komitmen negara terhadap prinsip-prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terutamanya menghormati kedaulatan serta integriti wilayah sesebuah negara.

"Malaysia turut menyatakan kebimbangan ke atas konflik tersebut yang menjadi bertambah buruk dan bakal bertukar menjadi situasi kemanusiaan di kawasan bergolak," katanya.

Iklan

Malaysia bersama 28 anggota MHAM yang lain terdahulu menyokong untuk mengadakan sesi Debat Khas tersebut menerusi proses undian bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk menyatakan pendirian mengenai konflik yang sedang berlaku, sebelum MHAM mempertimbangkan resolusi tersebut.

Menurut Kementerian Luar Negeri, dengan penerimaan resolusi tersebut, Malaysia menyeru agar semua pihak mengambil langkah segera untuk meredakan ketegangan bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa dan kemusnahan teruk berlaku.

Iklan

"Malaysia juga menyeru semua pihak agar meneruskan dialog dan meneliti segala kemungkinan bagi mencari

jalan penyelesaian kepada konflik tersebut secara damai, berlandaskan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa yang berkaitan.

"Malaysia turut menyeru agar jalan masuk yang selamat dan tanpa halangan dapat diberikan, terutamanya di kawasan utama konflik. Ini bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat dihulurkan dengan secepat mungkin kepada semua pihak yang terkesan, terutamanya golongan rentan," tegasnya.

Kementerian Luar Negeri menambah, Malaysia telah terlibat secara konstruktif semasa rundingan resolusi tersebut dan akan terus mengambil pendekatan objektif dan tidak berkecuali dalam usaha memudah cara proses dialog dan berdamai.

Ujarnya, Malaysia juga bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam mencari penyelesaian damai kepada konflik yang sedang berlaku.