Pemberontak Houthi berangkat ke Sweden untuk rundingan damai

Iklan
Wakil khas PBB, Martin Griffiths (kiri) mengiringi delegasi pemberontak Houthi ke Sweden. - FOTO www.thenational.ae
SANAA - YAMAN. Delegasi pemberontak Houthi berangkat menuju Sweden hari ini bagi menghadiri rundingan damai dengan kerajaan Yaman bertujuan menamatkan perang di negara itu.

Delegasi yang diiringi wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths berlepas dari Sanaa menaiki pesawat ditemani duta Kuwait ke Yaman.

Keberangkatan tersebut menandakan usaha rundingan damai kali ini bermula lebih baik berbanding pertemuan yang dijadual pada September lalu di Geneva, ia gagal berikutan keengganan pemberontak Houthi meninggalkan Sanaa.

Kegagalan rundingan itu menimbulkan keraguan kerajaan Yaman bahawa puak pemberontak cuba melengahkan masa menjelang serangan tentera pakatan yang diketuai Arab Saudi untuk menawan semula pelabuhan Hudaidah.

Kedua-dua pihak bertelagah kini menerima tekanan hebat Amerika Syarikat dan PBB dalam usaha menamatkan konflik Yaman yang menjerumuskan negara itu ke kancah krisis kemanusiaan terburuk dunia.

Isnin lalu, sebuah pesawat membawa 50 pemberontak Houthi yang cedera mendarat di Oman di mana mereka akan dirawat.

Langkah pemindahan terbabit yang dipersetujui pakatan Arab Saudi dilihat sebagai langkah meyakinkan yang perlu diambil bagi menjayakan usaha rundingan damai.

Kerajaan Yaman dan pemberontak Houthi juga dikatakan bersetuju dengan langkah pertukaran banduan sebelum bermulanya rundingan di Stockholm. - www.thenational.ae