Tiada straw plastik di Melaka mulai 1 Mei

Iklan
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew
MELAKA - Penyedut minuman atau straw plastik bakal dilarang penggunaannya di semua premis makanan di negeri ini apabila kerajaan negeri melaksanakan kempen tersebut mulai 1 Mei depan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Tey Kok Kiew berkata, langkah tersebut sebagai usaha memelihara alam sekitar dan menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri menjaga kebersihan.

Menurutnya, serentak dengan itu, semua pengusaha restoran dan premis makanan dinasihatkan supaya tidak membekalkan straw plastik kepada pelanggan mereka.

"Bagaimanapun larangan penggunaan straw plastik ini masih di peringkat percubaan dan ia lebih kepada untuk mendidik masyarakat. Pelanggan masih boleh meminta sekira diperlukan daripada pengusaha kedai tanpa dikenakan sebarang caj.

"Ini merupakan langkah awal bagi mengurangkan penggunaan straw plastik dan kita minta orang ramai berikan kerjasama untuk menjayakan usaha ini,” katanya.

Kok Kiew (DAP-Banda Hilir) berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Seri Negeri di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Othman (BN-Kuala Linggi) yang bertanyakan langkah diambil kerajaan negeri untuk mengekalkan kebersihan negeri ini.

Larangan penggunaan straw plastik sudah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala Putrajaya akan melaksanakan larangan tersebut mulai tahun hadapan.