Hapus bayaran lesen, sewa tapak bakal rancakkan ekonomi

Iklan
Tawaran PN untuk menghapuskan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan pastinya melegakan ramai penjaja dan peniaga.

Dapat menarik lebih ramai rakyat untuk berniaga tanpa hadapi tekanan dan bebanan

Tawaran PN untuk menghapuskan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan pastinya melegakan ramai penjaja dan peniaga.

BATU PAHAT - Penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan bagi penjaja menerusi Ikrar Perikatan Nasional (PN) merupakan satu galakan untuk merancakkan ekonomi negara terutama di Johor.

Iklan
Iklan

Calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mafodz berkata, ia juga dapat menarik lebih ramai rakyat untuk berniaga tanpa menghadapi tekanan dan bebanan.

"Itu adalah tawaran yang menarik peniaga dan penjaja kecil khususnya di kawasan Parit Yaani. Ia juga satu galakan untuk merancakkan ekonomi bila mana kita tidak mengenakan bayaran cukai atau lesen ini.

Iklan

"Usaha tersebut juga supaya lebih ramai yang berminat untuk berniaga tanpa tertekan atau terbeban lebih-lebih lagi dalam fasa pemulihan ketika ini.

"Jadi apa yang penting sekarang ini untuk mengembalikan keyakinan kepada peniaga untuk keluar berniaga dan di situ akan datang aliran wang yang baik kepada mereka sekali gus meningkatkan ekonomi yang baik kepada masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

AHMAD NAWFAL

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan tawaran itu juga, maka pemulihan dan pembangunan ekonomi akan berlaku.

Jelasnya, sebelum ini, ramai daripada rakyat Malaysia sudah terbeban untuk berniaga akibat daripada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dengan adanya ikrar berkenaan akan memudahkan mereka (rakyat) untuk berniaga dan ini yang kita hendakkan. Macam hari ini, kita boleh tengok ramai peniaga terkesan dengan PKP.

"Jadi fokus di sini, Parit Yaani khususnya akan rancakkan ekonomi, banyak urusan jual beli sekali gus menjadikan Johor mempunyai limpahan ekonomi yang baik,” ujar beliau.

Ahmad Nawfal berkata lagi, tawaran yang diberikan itu juga akan membantu mengurangkan kos yang mereka terpaksa hadapi.

"Bila kita berbicara tentang kos sara hidup, selain daripada kita katakan pendapatan yang baik, mereka juga perlukan pengurangan kos.

"Mana-mana kos yang boleh dikecualikan amatlah bagus dan memang galakan yang baik untuk penjaja,” kata beliau.

Tawaran PN tepat untuk penjaja

Tawaran penghapusan bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan kepada penjaja menerusi Ikrar PN sangat menarik dan bertepatan untuk membantu golongan tersebut yang terkesan akibat Covid-19.

QAIRY

Setiausaha Biro Niaga Muda Persatuan Penjaja Peniaga Kecil Melayu Gabungan Malaysia (Gabungan Malaysia), Qairy Maheran berkata, dalam tempoh lima tahun andai diberikan mandat, ia boleh mematangkan dan memulih ekonomi rakyat terutama penjaja dan peniaga.

"Itu sangat bertepatan dengan keadaan sekarang dan saya yakin bila ikrar itu dilaksanakan, golongan peniaga tidak akan menolak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga PN.

"Saya nampak Muhyiddin betul-betul prihatin.

"Selalunya pemimpin parti-parti politik tidak menghiraukan penjaja, mereka cuma melihat di kelas yang lain dan tidak nampak apa kesusahan penjaja.Sedangkan golongan penjaja ini sangat ramai dan ada di mana-mana.

"Dengan ikrar tersebut, saya rasa PN akan menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini,” katanya pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, tawaran yang diberikan perlu lebih diperbesarkan atau diperluaskan lagi bukan hanya tertumpu kepada penjaja tetapi juga diberikan kepada usahawan.

Akui Qairy, ikrar berkenaan perlu diperincikan dan diselarikan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya mereka lebih jelas dengan tawaran itu.

"Sebagai contoh seperti tahun lalu dikatakan untuk penjaja meniaga di Ekspo Ramadan percuma tetapi tidak selari dengan PBT, adakah Ikrar PN ini selari?

"Sebab PBT akan jadi isu, kerajaan boleh bagi percuma tetapi mereka ada kos yang perlu ditanggung. Itu yang saya lihat kos tapak percuma, tetapi kos pembersihan tetap kena bayar.

"Jadi itu yang jadi isu kepada penjaja kerana ia tidak berapa jelas.

"Maka, ikrar berkenaan boleh menjadi lebih menarik kalau PN benarbenar berkempen dan maklumkan dan selari dengan PBT,” jelasnya.

REAKSI

AZIRA

"Ini adalah langkah yang ditunggu-tunggu peniaga kecil seperti kami. Kami anggap sebagai satu rahmat berharap dapat dilaksanakan terutama dalam keadaan peniaga baru berniaga semula selepas pandemik Covid-19.” - Azira Taibi, 22

MASTURA

"Kalau difikirkan memang mustahil untuk dilaksanakan kerana belum pernah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mahu menghapuskan bayaran lesen dan sewa tapak. Namun harap itu dapat dilaksanakan yang dilihat amat membantu peniaga-peniaga kecil.” - Mastura Abdullah, 35

NORAMIRA

"Jika sewa tapak dan bayaran lesen dihapuskan, ia amat bermanfaat untuk penjaja sebab ia membantu dalam mengurangkan kos perniagaan.” - Noramira Mat Jais, 30

ABU MUSLIM

"Itu bagus dan lebih membantu semua peniagapeniaga kecil di sini. Sebab sekarang ini tidak semua tempat yang boleh menjaja di tepi jalan.” - Abu Muslim bin Amir Hamzah, 32