SUNGAI PETANI - Seorang buruh binaan warga Indonesia cedera dipercayai akibat ditetak dalam kejadian di tepi jalan Taman Rhu 3, Tikam Batu di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa yang berusia 40 tahun mengalami kecederaan di bahagian lengan kiri dan mulut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dan sedang mendapatkan rawatan di zon kuning serta berada dalam keadaan stabil.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang sedang memandu sebuah kereta jenis Proton Satria menghala ke Taman Rhu 3 Tikam Batu di sini ditahan dua lelaki yang menunggang motosikal jenis EX5.
"Mangsa kemudian memberhentikan kenderaannya dan sebaik keluar dari kereta, suspek terus menetaknya.
"Mangsa tidak dapat menceritakan kejadian lebih lanjut memandangkan kecederaan dialami serta mulutnya yang masih dibalut menyukarkannya bercakap," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Anuar berkata, polis telah mengambil keterangan orang awam yang tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa dan menghubungi Balai Polis Tikam Batu.
"Namun, orang awam tersebut memaklumkan dia tidak nampak mangsa ditetak tetapi hanya melihat mangsa sudah terbaring atas rumput di tepi jalan," katanya.
Katanya, siasatan mendapati tiada barang peribadi milik mangsa yang hilang dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.