Satu daripada tiga rakyat Malaysia alami tekanan jiwa, kemurungan

Iklan
- Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, satu daripada tiga rakyat di negara ini sememangnya mengalami tekanan jiwa, keresahan dan kemurungan.

Beliau tidak menolak pendedahan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) semalam, bahawa 25 peratus daripada penjawat awam mempunyai kad psikiatri malah menegaskan jumlahnya lebih daripada itu.

Iklan
Iklan

Katanya, menurut Kementerian Kesihatan, sekiranya pekerja itu tidak dapat menjalankan rutin dengan baik selama dua minggu, ia bermakna individu tersebut mengalami salah satu daripada tiga masalah berkenaan.

"Kesihatan minda adalah keutamaan Kementerian Kesihatan dan kami tidak nampak masalah kesihatan mental ini dengan pandangan negatif dan sebagainya. Kami tangani dengan pendekatan yang sangat bertanggungjawab.

Iklan

"Kita nak lahirkan masyarakat yang sihat, malah tekanan dan keresahan pun kita akan tangani. Gunakan segala kemudahan di hospital kita untuk tangani masalah kesihatan mental," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia 2019, hari ini.

Semalam, Cuepacs mendedahkan lebih 400,000 penjawat awam tertekan dengan kerja sehingga mengalami tekanan jiwa bahkan ada yang diberikan kad psikiatri.

Iklan

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, 25 hingga 30 peratus daripada 1.67 juta penjawat awam mengalami tekanan dan trend tersebut tidak menunjukkan sebarang pengurangan sejak beberapa tahun lepas.

Jelasnya, isu kos sara hidup dan tekanan semasa bekerja dilihat antara faktor utama menyebabkan penjawat awam terus dibelenggu tekanan.

Mengulas lanjut Dzulkefly mengingatkan Cuepacs agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

Beliau berkata,Cuepacs tidak sepatutnya mempunyai stigma terhadap penjawat awam yang berjumpa pakar psikiatri atau mereka yang memilik kad berkenaan.

"Cuepacs harus berhati-hati dalam keluarkan kenyataan. Ini bermakna kalau seseorang itu datang untuk dapatkan rawatan tentang tekanan jiwa, keresahan dan kemurungan maka dia tergolong dalam kategori pesakit.

"Itu tidak boleh buat stigma, bila sebut sahaja ada kad psikiatri mesti ada dalam kepala umum adalah gila. Ini sangat negatif," katanya.

Tambahnya, rakyat di negara ini tidak wajar membuat andaian sekiranya seseorang itu berjumpa dengan pakar psikiatri, dia dianggap menghadapi tekanan jiwa.

"Jika jumpa sahaja psikiatri, terus hukum bahawa mereka adalah pesakit mental. Ini satu contoh.