JOHOR BAHRU - Kerajaan bersedia untuk mengembangkan industri landskap dan benih bunga-bungaan negara sebagai salah satu sektor penjanaan ekonomi tinggi pada masa hadapan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, melihat kepada evolusi 25 tahun pembangunan landskap di negara ini, kini sudah tiba masanya untuk melihat sektor itu terus diperkasa ke tahap seterusnya.
"Berdasarkan permintaan pasaran dunia yang tinggi dengan kadar peningkatan tahunan sebanyak enam peratus, potensi perkembangan industri ini dijangka dapat menjana ekonomi negara sehingga RM509 juta setahun.
"Bukan itu sahaja, Malaysia juga dilihat mempunyai potensi nilai tinggi sebagai pengeluar biji benih bunga khusus untuk negara iklim tropika ke pasaran dunia.
"Jadi kita lihat sudah tiba masanya untuk melihat landskap dan bunga-bungaan ini dalam satu kerangka industri baharu yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi baharu kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Landskap Negara 2022 yang turut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Taman Ekoflora di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.
Reezal Merican berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini sedang melihat beberapa model pembangunan industri landskap dan bunga-bungaan untuk dijadikan rujukan kepada Pelan Pembangunan Industri Landskap Negara.
"Blueprint ini (Pelan Pembangunan Industri Landskap Negara) juga akan sejajar dengan kerangka akta berkaitan pembangunan industri landskap dan bunga-bungaan.
"Kita ada potensi, ini merupakan industri baharu yang boleh diteroka serta berupaya mencipta pelbagai peluang dalam sektor pekerjaan mahu pun kajian-kajian akademik,” jelasnya.
Selain itu, beliau berkata, industri ini juga dilihat mempunyai rangkaian yang cukup luas serta memerlukan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan antaranya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
"Justeru, usaha yang ingin dilaksanakan ini memerlukan sinergi daripada semua pihak termasuklah di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kita telah pun ada kerangka dan perancangan, jadi kita akan rangkumkan sinergi semua pemegang taruh ini untuk menjadikan industri landskap negara berkembang sebagai satu industri bernilai tinggi,” ujarnya.