KUALA LUMPUR - Bas percuma GoKL akan menyediakan perkhidmatan koc wanita bermula Isnin ini.
Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, lima laluan dan penjadualan bas telah dikenal pasti seperti dalam tempoh percubaan.
Menurutnya, papan tanda koc wanita atau ' ladies coach' akan diletakkan pada cermin hadapan bas dan skrin layar bagi memudahkan orang awam khusunya golongan berkenaan mengenal pasti kemudahan tersebut.
"Bas terbabit melibatkan laluan hijau (dari KLCC ke Bukit Bintang), ungu (Pasar Seni ke Bukit Bintang), merah (hab Titiwangsa ke KL Sentral), biru (hab Titiwangsa ke
Bukit Bintang) dan merah jambu (hab LRT Universiti ke PPR Seri Pantai)," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Jelas kenyataan itu lagi, penambahbaikan perkhidmatan terbabit bertujuan memberikan keselesaan kepada pengguna khususnya kepada kaum wanita.
"Dengan adanya pengkhususan koc ini diharap kadar penggunaan bas GoKL akan meningkat.
"Pada masa sama, kadar pelepasan karbon di bandar raya ini akan dapat dikurangkan dengan pengurangan kadar kenderaan di dalam bandar," katanya.