PONTIAN - Barisan Nasional (BN) kini mendahului dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berdasarkan sambutan diterima sepanjang minggu pertama berkempen.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga mendakwa, prestasi tersebut dinilai selepas hari penamaan calon pada Sabtu lalu sehingga kini.
Bagaimanapun, penasihat BN itu tidak mahu terlalu yakin dengan perkembangan tersebut sebaliknya mahu jentera BN terus fokus kepada usaha menyantuni seramai mungkin masyarakat Johor.
"Alhamdulillah, saya lihat berdasarkan pertemuan yang diadakan, 'mood' dan sentimen nampaknya memihak kepada BN tetapi saya tidak mahu menjangka sebarang keputusan terlalu awal.
"Paling penting fokus kepada kerja, beri penjelasan berhubung agenda kita untuk rakyat serta menangkis fitnah dan tuduhan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas melakukan 'walk-about' di pekan Sanglang, Benut di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Najib turut mengakui sokongan masyarakat Cina terhadap BN amat menggalakkan.
Dalam perkembangan lain, Najib menyelar dakwaan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang beliau turun berkempen dalam PRN Johor seperti mahu menjadi calon Menteri Besar Johor.
"Dakwaan itu tak masuk akal. Calon Menteri Besar ialah Hasni (Datuk Seri Hasni Mohammad) dan semua yang saya lakukan untuk Hasni, bukan untuk diri saya," jelasnya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my