KUALA LUMPUR -"Kerajaan sedang berusaha menyelamatkan nyawa seorang rakyat Malaysia yang dijadual menjalani hukuman gantung di penjara Changi, Singapura," kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau menarik perhatian bahawa ada yang berpandangan bahawa hukuman seumpama itu adalah keterlaluan.
Iklan
Iklan
"Kita sedang cuba menyelamatkan nyawanya. Sepertimana kita tahu di Malaysia sekarang ini pemikiran rakyat ialah hukum gantung itu keterlaluan.
"Jadi kita harap negara lain juga bersikap demikian," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Michael Garing dilapor akan digantung di penjara berkenaan pada Jumaat ini selepas disabitkan atas kesalahan membunuh oleh Mahkamah Tinggi republik itu pada 2015 dan sabitan berkenaan disahkan Mahkamah Rayuan pada 2017.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata Malaysia akan mengutus surat ke Singapura bagi membantah hukuman mati ke atas lelaki yang berasal dari Sarawak itu. - Bernama