'Tiada keperluan UMNO, BN perlu 'direhatkan' - Khairy

Iklan
Khairy Jamaluddin (tengah) bersama-sama jentera BN semasa melawat Command Centre BN Iskandar Puteri, Iskandar Puteri, pada Sabtu.

ISKANDAR PUTERI - Saranan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa UMNO dan BN perlu direhatkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah tidak berasas dan tiada keperluan berbuat demikian.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, UMNO dan BN masih masih berkhidmat dengan baik kepada rakyat.

Iklan
Iklan

Malah pada PRN Johor katanya, parti itu menawarkan ikhtiar iaitu manifesto yang baik kepada rakyat.

"Kenapa nak rehatkan kita di sini pula. (PRN) tiada kena mengena dengan pemimpin rasuah, sekarang ketua parti di Johor Datuk Seri Hasni (Mohammad) yang berkredibiliti tinggi. Perdana Menteri kita pun tiada apa masalah.

Iklan

"Jadi saya tak tahu apa yang dimaksudkan," katanya ketika ditemui ditemui pemberita semasa melawat Command Centre BN Iskandar Puteri, di sini pada Sabtu.

Abdul Hadi ketika berceramah di Pulai Sebatang, Pontian pada malam Khamis, meminta rakyat Johor menolak UMNO dan BN yang kini diibaratkan sudah ‘lumpuh’ dengan memilih Perikatan Nasional (PN) bagi memimpin kerajaan negeri selepas 12 Mac ini.

Iklan

Menurut beliau lagi, UMNO dan BN yang tumbang pada Pilihan Raya Umum ke14 perlu direhatkan kerana ditimpa pelbagai penyakit disebabkan terlalu lama memerintah negara.

Sementara itu, Khairy berkata, penyertaan calon-calon muda termasuk daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak boleh dipandang remeh pada PRN Johor.

Semua pihak katanya, mempunyai peluang yang seimbang untuk menambat hati rakyat sepanjang tempoh berkempen ketika ini.

Ujarnya, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kempen termasuk pindaan waktu berceramah sehingga 12 tengah malam juga memberi ruang kepada calon-calon walaupun tidak boleh dilakukan dalam skala besar.

Beliau mahu semua pihak menghormati satu sama lain kerana setiap parti mempunyai maruah, idealisme dan visi termasuk Muda, Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Warisan serta musuh tradisi BN iaitu Pakatan Harapan (PH) dan PN.

"Tak perlu kita remehkan usaha mereka, semua tengah mencuba untuk PRN ini. Semua ada pentas yang sama rata untuk merayu undi daripada rakyat.

"Selamat maju jaya kepada semua termasuk Muda. Beri mereka peluang untuk berkempen tetapi sudah tentu masa mengundi (pengundi) kena undi BN," katanya yang juga Menteri Kesihatan.

Ketika ditanya kempen PN yang menggunakan papan iklan memaparkan usaha mereka dalam program vaksinasi percuma, Khairy berpendapat perkara itu tidak sepatutnya dijadikan bahan kempen.

"Itu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di peringkat kerajaan Persekutuan iaitu kerajaan yang dibentuk oleh BN dan PN. Jadi ia adalah program daripada semua dalam kerajaan.

"Kerajaan boleh ambil kredit, mungkin mereka mahu kata sebagai wakil dalam kerajaan (tetapi) kita pun boleh ambil kredit yang sama. Tak perlu jadikan sebagai bahan kempen PRN," katanya.