Jadikan PTPTN tempat menabung, bukan pinjaman sahaja: Wan Saiful

Iklan
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR - Sikap masyarakat terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini semakin positif apabila semakin ramai menjadikan perbadanan itu sebagai sebuah ‘tabung’ simpanan pendidikan, dan bukan lagi dilihat sebagai entiti pemberi pinjaman semata-mata.

Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan berkata ini dapat dibuktikan dengan peningkatan dana Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang melonjak dua kali ganda pada suku kedua tahun lepas kepada RM790.93 juta berbanding RM340.94 juta dari Januari sehingga Mei tahun lepas (sebelum Pilihan Raya Umum ke-14).

Iklan
Iklan

"Apa yang Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) selalu sebut mengenai pentingnya kita sebagai kerajaan untuk mendidik rakyat ke arah sikap yang lebih positif, ia boleh dibuat sekiranya kita buat dengan cara yang lebih fokus.

"Saya rasa semasa zaman BN (Barisan Nasional) dahulu apa yang ditekankan ialah datang ke pejabat kami (PTPTN) adalah untuk pinjaman. Apa yang orang nampak kepada PTPTN ialah pinjam. Penekanan itu salah bagi saya. Sebab itu kita cuba ubah penekanan itu supaya PTPTN dilihat betul-betul sebagai tabung untuk pendidikan,” katanya dalam temubual ekslusif bersama Bernama, di Menara PTPTN, di sini.

Iklan

Wan Saiful menambah sehingga Februari tahun ini kutipan dana simpanan SSPN yang terbahagi kepada dua skim iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus, berjumlah RM4.68 bilion, dan ia mempunyai 3.96 juta akaun pendeposit.

Wan Saiful berkata kutipan deposit SSPN tahun lepas berjumlah RM1.13 bilion yang merupakan tertinggi sejak ia diwujudkan pada 2004 telah menjadi pembakar semangat untuk pihaknya terus meningkatkan kesedaran rakyat untuk menabung demi pendidikan anak-anak mereka, berbanding bergantung kepada pinjaman semata-mata.

Iklan

Untuk itu, katanya PTPTN menyasarkan RM1 bilion kutipan deposit pada tahun ini, berbanding sasaran RM625 juta tahun lepas dan menurutnya beliau yakin sasaran itu berjaya dicapai dengan bantuan dari pelbagai pihak dalam memupuk sikap masyarakat untuk menabung.

"Pada jangka masa panjang, kalau boleh kita tidak mahu bila pelajar habis belajar di universiti mereka dapat kertas ijazah sekali dengan surat hutang PTPTN. Alangkah baiknya kalau dia boleh dapat ijazah dan bebas hutang,” katanya.

Bagi menggalakkan ibu bapa membuka akaun SSPN, PTPTN memberi pelbagai insentif termasuk pelepasan cukai dan Ganjaran Kesetiaan SSPN-i yang menawarkan dividen 0.5 peratus atas simpanan yang dibuat selama empat bulan bermula Januari hingga April, kepada pendeposit yang layak.

Namun, Wan Saiful berpendapat insentif yang diberikan hanyalah bersifat sementara dan yang lebih penting adalah kesedaran rakyat untuk menabung ditingkatkan.

"Kalau ada insentif itu bagus, tetapi kalau tidak ada insentif pun mereka perlu juga menabung untuk masa depan anak-anak,” katanya. - Bernama