PETALING Jaya (PJ) City FC memulakan saingan Liga Super musim ini dengan langkah kanan apabila menewaskan Melaka United FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya sebentar tadi.
Tanpa khidmat pemain import berbanding Melaka United yang menurunkan lima tenaga import termasuk penyerang berbisa, Ifedayo Olusegun, benteng PJ City nyata kebal sepanjang perlawanan.
Iklan
Iklan
Tempoh 30 minit pertama perlawanan berlangsung hambar apabila tiada percubaan yang benar-benar berbahaya dengan penjaga gol kedua-dua pasukan tampak lebih banyak 'berehat'.
Namun, kegagalan Melaka United menyudahkan gerakan pada minit ke-41 mengundang padah apabila PJ City memanfaatkan peluang terbabit untuk melancarkan serangan balas.
Bola hantaran jauh Mahali Jasuli berjaya ditanduk Darren Lok yang kemudiannya disudahkan S Kumaahran yang melakukan sepakan voli untuk menewaskan penjaga gol Melaka United, Norazlan Razali.
PJ City FC seharusnya menamatkan aksi babak pertama dengan dua gol, namun percubaan Kumaahran di depan pintu gol Melaka United mudah ditangkap Norazlan.
Skrip sama juga berlaku pada babak kedua dengan jentera serangan Melaka United gagal menembusi benteng PJ City, sekali gus gol membolehkan The Phoenix meraih tiga mata berharga.